NIKOLSKOYE, Rusia – Seorang petani menemui kubur berusia 2,000 tahun yang mengandungi tengkorak ‘ketawa’ di sini baru-baru ini, lapor akhbar The Sun UK.
Rustam Mudayev mulanya menyangkakan dia menjumpai harta karun selepas cangkulnya terkena sebuah periuk gangsa. Dia segera membawa penemuan itu ke Muzium Sejarah Wilayah Astrakhan.
Pihak muzium kemudiannya mengadakan satu ekspedisi di perkampungan Nikolskoye selepas salji di situ mula cair.
“Kami menemui satu kubur diraja, salah satu tapak di mana penduduk nomad purba Sarmatian mengebumikan bangsawan mereka,” kata penyelidik saintifik muzium itu, Georgy Stukalov.
Penyelidik turut menemui beberapa rangka manusia termasuk ketua puak, tengkorak abnormal lelaki muda berbentuk seperti telur ayam selain sejumlah senjata serta barang kemas diperbuat daripada emas dan perak.
Rangka ketua puak itu dipakaikan pakaian bertatahkan emas dan diletakkan dalam keranda kayu, manakala rangka milik wanita ditemui berdekatan cermin yang dibuat daripada perak. – Agensi











