Tempah slot separuh akhir - Utusan Malaysia

Tempah slot separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA selangkah sahaja lagi buat beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying melayakkan diri ke pentas final Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand selepas memastikan slot di peringkat separuh akhir hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan ­Olimpik Rio 2016 itu menyingkirkan rakan senegara yang juga bekas rakan sepasukan kebangsaan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di peringkat suku akhir semalam menerusi aksi straight set 21-16, 21-11 dalam tempoh 35 minit.

Meskipun hanya memerlukan dua set untuk menyingkirkan Kian Meng-Pei Jing, namun Liu Ying menegaskan, ia bukannya kemenangan mudah memandangkan kedua-dua pemain itu turut memberikan tentangan sengit, namun faktor pengalaman lebih memihak kepada mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya hari ini (semalam) bukan kemenangan mudah kerana mereka turut beri tentangan sengit sepanjang perlawanan, cuma kami dapat membaca corak permainan mereka memandangkan pernah menjalani latihan bersama ketika berada dalam skuad kebangsaan.

“Selain itu, mereka juga dilihat se­perti terlalu menghormati kami sebagai pemain senior sehingga membuatkan kami mampu bermain lebih yakin serta melakukan serangan demi serangan terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada masa sama, pemain kelahiran Melaka itu menganggap Terbuka New Zealand yang mula menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun depan turut membakar semangat mereka untuk menampilkan aksi lebih baik di sana.

“Ini adalah kejohanan pertama yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020, jadi sudah tentu kami mahu mulakannya dengan langkah kanan. Saya harap kami akan terus lebih konsisten pada kejohanan seterusnya kerana inilah peluang kami untuk tempah slot ke Tokyo.

“Aksi menentang Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja esok (hari ini) pas­tinya sukar kerana kami pernah bertemu banyak kali sebelum ini. Apa yang penting adalah berikan aksi terbaik serta fokus pada tugas masing-masing,” ujarnya lagi.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran kebangsaan, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mengikut jejak langkah Kian Meng-Pei Jing meninggalkan kejohanan tersebut apabila tewas 14-21, 19-21 kepada beregu Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.

Situasi sama turut menimpa dua beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin apabila masing-masing tewas kepada wakil Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda serta Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini