Fantasi kewujudan pengangkutan awam udara di dunia ini bakal menjadi realiti apabila sebuah prototaip teksi terbang telah berjaya dibina oleh sebuah firma dari Jerman, Lilium baru-baru ini.
Penciptaannya dijangka menjadi asas kepada perkhidmatan pengangkutan udara dan bakal mendapat permintaan tinggi dalam tempoh enam tahun lagi.
Pesawat atau jet dengan lima tempat duduk yang dikuasakan oleh elektrik itu direka dengan kelajuan tinggi. Ia mampu melengkapkan perjalanan sehingga 300 kilometer dalam tempoh satu jam.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Lilium, Daniel Wiegand berkata, prototaip tersebut telah membuat penerbangan sulung pada bulan ini di Munich, Jerman dengan menggunakan alat kawalan jauh.
“Sejak penubuhan firma ini pada tahun 2015, pihak kami telah menerima pelaburan sebanyak 87 juta pound (RM462 juta).
“Kami menetapkan sasaran untuk menjadikan pesawat ini sebagai teksi udara gaya hidup bandar dengan tempahan menaiki teksi dibuat menerusi aplikasi pada tahun 2025,” katanya.
Direka dengan satu ruang untuk juruterbang dan ruang empat penumpang, prototaip itu akan menjadi model templat bagi pengeluaran besar-besaran teksi terbang pada masa akan datang.
Ujar Wiegand, teksi udara itu dianggarkan akan mengenakan tambang sekitar AS$70 (RM292) bagi seorang penumpang ketika merentasi bandar.
“Kami mengambil satu langkah ke arah menjadikan perjalanan udara di bandar menjadi kenyataan.
“Jet itu juga sangat cantik dan kami berasa sangat bangga melihat ia terbang ke langit buat kali pertama,” tuturnya.
Tambah Wiegand, reka bentuknya tidak terlalu kompleks dan dikuasakan oleh 36 enjin jet elektrik yang diperlukan untuk terbang dan mendarat lantas menjadikan teksi terbang itu selamat. Malah, harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan.
Katanya, walaupun terbang di udara, teksi terbang itu hanya memerlukan kuasa yang sedikit berbanding kereta elektrik.
Bunyi perlahan
Reka bentuk sayapnya pula berjangkauan lebih panjang berbanding pesawat-pesawat berasaskan dron yang menggunakan lebih banyak tenaga.
Lilium kini dalam proses mendapatkan pensijilan untuk pesawat baharu itu dengan melalui ujian penerbangan yang ketat.
Tegas Wiegand, walaupun orang ramai mungkin agak ragu-ragu dengan cita-cita Lilium itu tetapi hakikatnya, di dunia ini semua orang ingin terbang ke mana sahaja mereka mahu.
Sehubungan itu, firma tersebut cuba untuk memenuhi tuntutan masyarakat bagi perjalanan udara bandar yang tenang dan berkonsepkan hijau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Lilium, Remo Gerber memberitahu, bunyi yang terhasil daripada jet itu hanyalah 20 peratus daripada helikopter.
“Sehubungan itu, ia sesuai digunakan di bandar kerana bunyinya yang perlahan dan tidak mengganggu penduduk sekitar disebabkan ia dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga elektrik.
“Pesawat ini akan terbang mengikut peraturan yang ditetapkan di seluruh dunia dan mengintegrasikan sistem pengangkutan awam untuk memudahkan orang ramai bergerak ke mana sahaja,” katanya.
Ujarnya lagi, firma itu mementingkan keselesaan dan keselamatan orang ramai dengan menyediakan koridor pengangkutan awam.
Gerber berkata, pengangkutan udara seperti itu tidak perlu mengganggu alam sekitar yang indah untuk pembinaan jalan raya.
“Anda tidak perlu menebang pokok dan memusnahkan keindahan alam di sesuatu tempat untuk pergi ke mana-mana.
“Bayangkan, membina jalan raya dan laluan kereta api juga memerlukan kos yang besar,” ulasnya lagi.
Menurut analisis Morgan Stanley, pasaran untuk teksi terbang boleh mencecah sebanyak AS$1.5 trilion (RM6.26 trilion) pada 2040.
Projek membangunkan teksi udara ini turut dijalankan oleh Syarikat Embraer yang giat membangunkan Pengangkutan Elektrik Vertikal dan Pendaratan (eVTOL) di seluruh dunia.
Dalam pada itu, Uber sendiri melancarkan konsep model yang sangat berbeza pada awal tahun ini manakala Airbus sedang membangunkan autonomi pesawat Vahana.











