“MAAF, kami fikir ia halimunan,” tulis satu poster proganda milik Serbia. Dengan nada menyindir, poster itu menunjukkan tiga daripada 14 buah pesawat pengebom halimunan milik Amerika Syarikat (AS), ‘F-117 Nighthawk’ berjaya ditembak oleh pasukan pertahanan udara Serbia di ruang udara negara Balkan itu semasa Perang Kosovo pada tahun 1998 hingga 1999.
Insiden tersebut mengejutkan AS kerana pesawat bernilai AS$111 juta (RM462 juta) sebuah itu sepatutnya tidak boleh dikesan oleh mana-mana radar kerana sifat halimunannya. Pegawai tentera yang menembak pesawat itu, Zoltan Dani malah diangkat sebagai wira bangsa Serbia kerana berjaya menghapuskan mitos kekebalan pesawat halimunan AS.
Menurut laman web theaviationistcom, operator pertahanan udara Serbia mampu mengesan pesawat halimunan itu menggunakan radar-radar Soviet yang diubah suai. Pihak Serbia juga memantau komunikasi radio frekuensi UHF dan VHF pihak Berikat.
Angka rasmi menunjukkan hanya satu pesawat itu yang berjaya ditembak jatuh semasa konflik berkenaan. Dipercayai, pihak Serbia mengadakan-adakan jumlah tiga itu untuk tujuan propaganda.
Kejadian itu menjadi simbolik obsesi kuasa besar dunia terhadap teknologi ketenteraan terutamanya dalam mencapai kerahsiaan tertinggi. Istilah arms race atau perlumbaan senjata mula menjadi buah mulut semasa perbincangan mengenai topik tersebut.
Perlumbaan senjata secara amnya merujuk kepada peningkatan mendadak instrumen kuasa ketenteraan secara kuantiti dan kualiti pada masa aman. Di udara, kuasa-kuasa besar membangunkan teknologi pesawat halimunan untuk mengelak daripada dikesan oleh radar semasa satu-satu operasi.
Menepis gelombang isyarat
Tumpuan terhadap pembinaan pesawat halimunan bermula selepas penciptaan radar pada Perang Dunia Kedua. Radar menghasilkan gelombang isyarat ke udara menerusi antena. Mana-mana pesawat yang berada di kawasan gelombang itu akan melantunkan semula isyarat tersebut kepada radar itu, sekali gus radar dapat mengesan lokasi dan ketinggian pesawat. Ini membuatkan radar menjadi mimpi ngeri setiap pesawat tentera.
Model pertama pesawat jenis itu, Ho-229 dibangunkan oleh Jerman di penghujung Perang Dunia Kedua. Daripada rekaan sayap leper, ketiadaan ekor vertikal sehinggalah panel bingkai yang diperbuat daripada kayu dan lapisan arang, ciri-ciri pesawat itu dibuat khas untuk menjadi halimunan.
Menurut laman militaryhistory.com, menyedari akan kewujudan teknologi itu, AS mengerah tenaga untuk menyeludup prototaip pesawat sebelum ia jatuh ke tangan pasukan Kesatuan Soviet. Kedua-dua kuasa besar itu kemudian berlumba-lumba membangunkan teknologi pesawat halimunan untuk ‘menewaskan’ radar.
Kuncinya didapati dalam analisis mengenai pembelauan gelombang isyarat radar oleh firma pertahanan AS, Lockheed Martin. Pakar-pakar firma itu mendapati, jika pesawat dapat direka dengan bentuk yang tidak melantunkan semula gelombang isyarat kepada radar, maka pesawat tersebut tidak dapat dikesan oleh radar.
Disebabkan itu, kebanyakan rekaan awal pesawat halimunan tidak sama dengan pesawat lain. F-117 Nighthawk direka bentuk dengan permukaan rata pada sudut bersegi untuk menepis gelombang isyarat daripada kembali ke arah radar. Selain rekaan unik itu, fiuslaj pesawat itu disalut dengan bahan penyerap gelombang radar.
Menurut bekas Komander Skuadron Kesembilan Tentera Udara AS, Leftenan Kolonel Ken Tatum, bahan itu melindungi bahagian luar pesawat tersebut.
“Ia disalut kepada fiuslaj beberapa kali oleh anggota seakan-akan menyapu mentega.
“Bahan tersebut juga diletakkan di bahagian kelim pesawat sehingga ia kelihatan ‘licin’,” katanya dalam satu dokumentari.
Pembangunan teknologi itu yang selari dengan peredaran masa bermakna rekaan pesawat halimunan juga menjadi semakin aerodinamik lalu membolehkan pembangunan pesawat tempur halimunan seperti F-22 Raptor dan F-35. Kedua-dua pesawat tempur itu juga dibina dengan logam baharu yang mampu menyerap gelombang radar tanpa bantuan bahan penyalut.
Perisai plasma
Kini, pengkaji sedang membangunkan teknologi halimunan menggunakan perisai plasma, seakan-akan fiksyen sains.
Perisai itu menggunakan gas terion untuk mengurangkan keratan rentas radar sesebuah pesawat. Keratan rentas radar merujuk kepada keupayaan sesuatu pesawat untuk dikesan oleh radar.
“Plasma bukan sahaja menyerap satu gelombang, malah boleh menyerap gelombang yang dipancar daripada pelbagai frekuensi.
“Sekiranya musuh mempunyai radar yang kerap menukar frekuensi, plasma masih mampu menyerap gelombang-gelombang tersebut,” kata Profesor Kejuruteraan Elektrikal dan Komputer di Old Dominion University, Mounir Laroussi.
Pada masa depan, sesebuah pesawat boleh dipasangkan elektrod yang akan mengecas permukaan pesawat dan menyebabkan gas di sekitar pesawat menjadi terion dan menghasilkan plasma.
“Ketumpatan plasma itu boleh diubah-ubah mengikut keupayaan radar. Ini agak mustahil untuk dibuat hari ini, tetapi pada masa depan ia boleh dilakukan,” katanya.
Bukan AS sahaja yang mampu menghasilkan pesawat halimunan, blok Rusia juga menunjukkan keupayaannya dengan pembangunan pesawat tempur suliman pertamanya, Su-57.
Syarikat pembuatnya, Sukhoi menjanjikan pesawat halimunan dengan keupayaan olah gerak dan supercruise yang mampu menewaskan F-22 milik negara Uncle Sam. Walaupun bentuknya seiras F-22 Raptor namun, Rusia masih ketinggalan jauh dari segi kemajuan teknologi tersebut apabila negara itu masih bergelut dengan pengeluaran unit. Kos yang terlalu mahal diburukkan lagi dengan keupayaan enjin yang kurang memuaskan. Tentera Udara Rusia belum lagi menerima unit pertama Su-57 tatkala Lockheed Martin telah berjaya menghasilkan 171 buah F-35.
Sekatan
Monopoli AS terhadap teknologi itu juga cuba dipecahkan oleh blok lain seperti China dengan pesawat halimunan J-20, manakala Turki sedang membangunkan prototaip TF-X yang dijangka beroperasi pada 2023.
Perlumbaan teknologi halimunan tidak terhad dengan pembinaan pesawat, malah sistem pertahanan udara dan radar yang berkemampuan memintas teknologi halimunan itu.
Walaupun teknologi pesawat halimunan Rusia masih belum matang, namun ia membangunkan sistem persenjataan antipesawat S-400 yang digeruni AS.
Ia terbukti apabila AS membatalkan pembelian 100 buah F-35 oleh Turki apabila negara Islam itu menyatakan hasrat untuk membeli sistem S-400 daripada Rusia.
Tindakan itu dibuat kerana AS tidak mahu kerahsiaan pada pesawat itu berjaya dirungkai dan dipatahkan oleh S-400 sekiranya Turki mengoperasikan kedua-duanya.
Malah, AS turut mengugut untuk mengenakan sekatan ekonomi menerusi Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA).
China juga tidak ketinggalan dalam membangunkan sistem antipesawat dengan pembangunan radar kuantum.
Menurut portal nationalinterest.org, industri pertahanan China mendakwa berjaya menguasai teknologi radar kuantum, namun pemain industri Barat percaya sistem itu berkemungkinan masih di peringkat makmal.











