KOTA BHARU 6 Mei – Kementerian Kesihatan diminta mengkaji dan menarik semula pengharaman rumpai laut jenis Gracilaria yang merupakan bahan utama dalam pembuatan kerabu ‘sare’, iaitu makanan eksotik yang popular dalam kalangan rakyat negeri ini sejak turun-temurun.
Pensyarah Kanan Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan Universiti Malaya (Impuma), Dr. Adibi Rahiman Md. Nor berkata, pengharaman ke atasnya dibuat sejak 1996 selepas persampelan rawak pihak kementerian mendapati tumbuhan itu mengandungi kandungan logam terlalu tinggi.
Walau bagaimanapun kata beliau, populariti kerabu sare tidak pernah pudar, terutama sepanjang Ramadan menyebabkan para pembuat makanan tradisi itu sanggup mendapatkan Gracilaria secara haram dari Thailand bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Sebenarnya rumpai laut khas untuk buat kerabu sare ini tidak pernah diusahakan di Malaysia. Sejak dulu lagi bekalannya diperoleh dari Thailand. Rakyat kita bawa masuk ke negara ini dan prosesnya menjadi kerabu sare.
“Dengan kata lain, kandungan logam tinggi dikesan pada rumpai tersebut adalah berdasarkan hasil ujian persampelan rawak Kementerian Kesihatan terhadap Gracilaria dari Thailand.
“Ia mungkin berpunca dari banyak faktor termasuk diusahakan di lokasi yang airnya telah tercemar atau berdekatan dengan kawasan industri,” katanya kepada Utusan Online di Stesen Penyelidikan Marin Bachok (BMRS) Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES) UM, di sini.
Adibi Rahiman merupakan salah seorang penyelidik yang membentangkan hasil kajian dalam Bengkel Pemindahan Teknologi ‘Grand Challenge’ Pengkulturan dan Produk Rumpai Laut Malaysia di bawah Program Industri Rumpai Laut: Hasil Mampan dan Berkualiti Tinggi, semalam.
Beliau dalam pada itu berkata, rumpai laut tergolong sebagai ‘superfood’ kerana sifatnya yang kaya dengan pelbagai khasiat semulajadi dan tidak sepatutnya tercemar dengan kandungan logam tinggi jika diusahakan menerusi kaedah betul.
“Glacilaria diharamkan sejak 1996 sehingga kini tanpa ada kajian semula terhadap keputusan itu. Kesannya, rumpai laut terbabit tidak dapat diusahakan atau dikomersialkan secara sah di Malaysia sedangkan ia mampu memberi pendapatan tambahan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan kepada setiap pengusaha.
“Saya pernah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan mereka memberitahu, tidak ada masalah untuk menarik semula pengharaman asalkan kita dapat membuktikan Glacilaria dihasilkan di negara ini berkualiti serta bebas pencemaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE











