SEREMBAN 3 Mei – Seorang mekanik, Nor Exzuan Nor Hashimy, 25, didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah mengaibkan kehormatan seorang anggota polis di Senawang dekat sini pada 28 April lalu.
Tertuduh turut dikenakan denda RM3,500 oleh Majistret yang lain hari ini kerana sengaja menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu kira-kira pukul 2.10 pagi di tepi Jalan Persiaran Senawang 1 berhadapan pasaraya Mydin Senawang di sini pada tarikh tersebut.
Mengikut fakta kes, Nor Exuzan telah ditahan oleh Lans Korperal Mohd. Firdaus Adnan dari Balai Polis Senawang di lokasi berkenaan ketika tertuduh itu memandu sebuah kereta Proton Saga dan didapati melakukan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.
Anggota polis itu telah bertindak mengemukakan saman dengan kertas saman POL 257.
Tertuduh kemudian telah menurunkan tandatangan dengan menulis perkataan lucah `pukimak’ pada bahagian kiri kertas saman tersebut.
Dia memberitahu itu adalah tandatangannya yang sebenar semasa ditanya oleh Mohd. Firdaus mengapa dia menulis perkataan itu.
Timbalan Pendakwaraya, Ummi Amyra Natasha Azhar telah mengemukakan tuduhan terhadap Nor Exzuan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Mahyun Yusof kerana mengaibkan kehormatan terhadap anggota polis tersebut.
Sementara Timbalan Pendakwaraya Jiwan Kaur telah mengemukakan tuduhan sengaja menghalang penjawat awam terhadap tertuduh di hadapan Majistret Vanita Vasudevan.
Nor Exzuan yang beralamat di Kampung Sungai Dua Kecil di Kuala Pilah dan masih bujang mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan kepadanya.
Mahyun kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda manakala Vanita mengenakan denda RM3,500 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda terhadap Nor Exzuan.
– UTUSAN ONLINE











