Taktik sembunyi rokok seludup dalam kereta gagal - Utusan Malaysia

Taktik sembunyi rokok seludup dalam kereta gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Mei – Taktik menyembunyikan rokok seludup di dalam kenderaan pacuan empat roda (4WD) tidak berhasil apabila serbuan yang dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ke sebuah rumah di Bandar Baru Permaijaya, Miri, Sarawak berjaya menemukan sejumlah 308,000 batang rokok pelbagai jenama dipercayai belum lulus kastam.

Utusan Borneo melaporkan, Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM27,160 dengan anggaran jumlah duti sebanyak RM225,523.20.

“Bahagian Penguatkuasaan JKDM Miri telah menyerbu rumah tersebut kira-kira pukul 9 pagi selepas mengesyaki terdapat aktiviti penyeludupan rokok pelbagai jenama dipercayai belum lulus kastam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan berjaya menemukan 308,000 batang rokok pelbagai jenama yang disimpan di dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di kawasan meletak kenderaan di hadapan kediaman tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sharifah Halimah, seorang suspek berjaya melarikan diri dari rumah tersebut selepas melihat kehadiran anggota penguat kuasa.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 di mana jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini