MELIHAT pada graf populariti penyanyi Amira Othman, 25, tidak salah jika dikatakan ada penurunan berlaku pada kariernya berbanding sebelum ini.
Pernah popular menerusi lagu, Jaga-Jaga dan Mimpi Indah, Amira turut berjaya menarik perhatian peminat menerusi drama bersiri Abang Bomba I Love You.
Namun kini, nama penyanyi kelahiran Skudai, Johor ini kelihatan sepi dan lagu terbaharunya pula kurang mendapat sambutan.
Tidak mahu panik dengan keadaan sekarang, jelas Amira, dia sedang mengemas kini strategi untuk menaikkan semula jenamanya agar kekal relevan dalam industri.
“Kalau dilihat kepada lagu-lagu yang saya nyanyikan, memang kesemuanya mengambil masa yang agak lama untuk dikenali peminat. Saya faham keadaan itu dan buat masa ini saya tidak mahu panik. Pada saya seorang penyanyi yang bagus akan popular menerusi lagu-lagu yang baik.
“Oleh sebab saya agak cerewet dalam memilih lagu-lagu untuk dijadikan single, maka setahun hanya satu sahaja lagu yang keluar.
“Mungkin di situ silapnya dan selepas ini saya perlu menghasilkan lebih banyak lagu dalam setahun,” katanya yang kini menjadi jurucakap produk kecantikan, Skingo.
Tidak mahu melakukan sebarang gimik untuk menaikkan namanya, Amira bimbang sekiranya langkah itu akan memakan diri kemudian hari kelak.
“Saya tak berani nak gunakan elemen gimik dalam menaikkan nama, bimbang nanti jika tersilap langkan akan membuatkan diri saya dibenci.
“Buat masa ini biarlah mengikut aturan semulajadi, tak perlu dipaksa-paksa. Jika ada rezeki, lagu-lagu saya akan diterima juga biarpun lambat,” jelas Amyra.
Bercakap soal penjagaan muka, Amira berkata, kulit wajahnya begitu sensitif dan memerlukan penjagaan rapi. Oleh itu, dia memilih untuk menggunakan produk Skingo selepas melihat hasil yang diperoleh begitu memberangsangkan biarpun baru dua minggu menggunakannya.
“Kulit muka saya sering diserang ruam-ruam halus jika tersilap menggunakan produk kecantikan, namun apabila diminta untuk mencuba produk Skingo saya lihat perubahannya sangat ketara,” jelas Amira yang akan terbabit dalam kempen raya, Starvillion sepanjang Ramadan ini.










