KUALA LUMPUR 17 Mei – Seorang pekerja syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit palsu (MC) pada Februari hingga Mac lalu.
Mohamed Amir Khan Mohamed Yusof, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu selesai dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A. Raof.
Berdasarkan pertuduhan dikemukakan, tertuduh didakwa telah menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu sijil cuti sakit kerajaan atas namanya yang mana diketahui sijil cuti sakit itu adalah palsu.
Perbuatan berkenaan dilakukan tertuduh di Syarikat Malaysia Transformer Manufacturing Sdn. Bhd. MTM Riverside Pernec Building, Jalan AU3/1 di sini pada 4 dan 15 Februari serta 21 Mac lalu.
Pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd. Razak dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 30 April lalu, media melaporkan pihak polis telah berjaya menumpaskan sindiket menjual sijil cuti sakit palsu susulan penahanan enam orang termasuk dalang utamanya. – UTUSAN ONLINE









