BUKIT MERTAJAM 3 Mei – Seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kes pecah kenderaan di kawasan Masjid Kubang Semang di sini pada Selasa lalu akhirnya ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Lagenda, Padang Serai, Kedah, semalam.
Suspek lelaki berusia 49 tahun itu ditahan dalam operasi kira-kira pukul 1 tengah hari selepas dua hari diburu polis setelah kegiatan suspek memecah sebuah kereta di kawasan masjid itu tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, siasatan mendapati suspek terlibat dalam tiga kes curi dalam kenderaan di kawasan Masjid Kubang Semang dan lima kes di Masjid Taman Selasih, Kulim, Kedah.
“Polis merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi suspek dalam kegiatan berkenaan.
“Pihak polis juga telah menjumpai semula sebuah telefon bimbit jenama Asus yang dilaporkan hilang dalam kejadian di Masjid Kubang Semang,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian pada Selasa lalu, seorang pemuda berusia 25 tahun mengalami kerugian kira-kira RM500 selepas sebuah telefon bimbit jenama Asus yang diletakkan di dalam kereta dilarikan suspek yang memecah keretanya ketika dia sedang menunaikan solat Zuhur di Masjid Kubang Semang.
Kegiatan suspek bagaimanapun dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sehingga polis berjaya mengenal pasti identiti suspek.
Menurut Nik Ros Azhan suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau itu ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE











