BUAT kali pertama pada 2017, Zakat Pulau Pinang (ZPP) berjaya mengutip zakat lebih RM100 juta, dengan jumlah kutipan direkodkan sebanyak RM101 juta.
Kemudian pada 2018, jumlah kutipan zakat di Pulau Pinang terus meningkat dengan jumlah RM114 juta berjaya dipungut.
Pada 2019, ZPP menyasarkan kutipan zakat sehingga RM125 juta dan tidak mustahil jumlah ini berjaya dicapai berdasarkan rekod-rekod cemerlang yang dicatatkan oleh ZPP ditambah dengan kepercayaan umat Islam terhadap institusi tersebut.
Bagaimanapun, penghujung Ramadan tahun ini, umat Islam di Pulau Pinang khususnya pembayar zakat terusik dengan beberapa keping gambar pengagihan dan penyerahan kit bantuan zakat yang dilakukan oleh beberapa pemimpin bukan beragama Islam di negeri ini.
Sebelum ini pada 2016, situasi sama pernah berlaku, juga melibatkan pemimpin politik bukan Islam yang menyerahkan kit bantuan zakat kepada golongan asnaf.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor telah pun menjelaskan adalah harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada bagi menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf berdasarkan sudut hukum fikah.
Jadi siapalah kita yang cetek ilmunya mahu menyanggah pendapat Mufti.
Namun, ZPP sendiri dalam kenyataannya sedar bahawa situasi yang berlaku itu telah menimbulkan fitnah terhadap institusi tersebut.
Pada masa ini, jika anda meninjau sendiri laman Facebook ZPP, warga maya yang rata-ratanya pembayar zakat melahirkan rasa kecewa dengan apa yang telah berlaku.
Malah jika diteliti luahan pembayar zakat dalam laman Facebook ZPP, ada yang mengakui selepas ini mereka tidak lagi mahu menunaikan zakat menerusi ZPP sebaliknya akan membayar zakat di negeri-negeri lain atau mencari sendiri golongan asnaf.
Sewajarnya, ZPP sebagai satu agensi yang dipercayai oleh umat Islam negeri ini mengelakkan sebarang polemik yang boleh menimbulkan fitnah begini daripada terus berulang.
Hal ehwal urusan agama Islam terutama membabitkan zakat tidak lagi perlu menjadi batu loncatan kepada mana-mana ahli politik untuk menonjolkan diri.
Sebagaimana zakat mensucikan harta, zakat juga harus disucikan daripada menjadi alat permainan pemimpin politik. – UTUSAN ONLINE











