KUALA LUMPUR 15 Mei – Goh Soon Huat dan Chow Mei Kwan masing-masing dilantik selaku kapten dan penolong ketua pasukan bagi mengharungi Piala Sudirman 2019 di Nanning, China pada 19 hingga 26 Mei ini.
Pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, keputusan perlantikan mereka berdasarkan pandangan secara kolektif memandangkan kedua-duanya menepati kriteria sebagai seorang pemimpin.
“Kami sudah berbincang bersama barisan kejurulatihan dan kami sebulat suara melantik Soon Huat. Ini kerana dia merupakan antara pemain yang paling senior dalam pasukan.
“Kami percaya, menerusi pengalamannya sedia ada mampu menjadi pemimpin yang bagus termasuk menjadi contoh ekpada pemain muda lain. Saya yakin dia akan memimpin pasukan ini dengan baik.
“Mei Kwan pulam saya percaya dia akan menggalas tanggung jawab ini dengan baik. Kami boleh nampak gaya kepimpinannya sepanjang karier dan dia selalu menunjukkan sikap yang baik. Sebab itu kami melantik mereka untuk memimpin skuad negara,” katanya menerusi Instragram rasmi BAM, ba_malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, Choong Hann berharap gandingan kedua-dua pemain tersebut mampu menjadi tulang belakang kepada skuad negara pada kejohanan tersebut nanti.
“Saya percaya menerusi gabungan tersebut akan menyatu padukan skuad negara sehingga menghasilkan produktiviti yang padu. Saya yakin mereka dapat membantu dan memberi sokongan kepada pasukan,” katanya.- UTUSAN ONLINE











