KUALA LUMPUR – Aksi konsisten yang ditampilkan ketika melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Individu Asia awal bulan ini menyuntik semangat pemain wanita negara, Low Wee Wern menjelang pusingan pertama Terbuka Britain yang bermula esok.
Pada kejohanan yang berlangsung di Hull, England itu, Wee Wern yang merupakan pemain No.28 dunia bakal berdepan tugasan sukar apabila dijadualkan bertemu pemain tuan rumah, Fiona Moverly di pusingan pertama.
Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu sedia untuk memberikan segala-galanya pada Terbuka Britain memandangkan ia merupakan kejohanan terakhirnya musim ini sebelum berehat dan memberikan sepenuh tumpuan pada persediaan musim depan.
“Terbuka Britain merupakan salah satu kejohanan utama dalam Siri Jelajah Dunia dan saya juga sudah lama tidak beraksi pada kejohanan tertinggi seperti ini, jadi saya enggan letakkan harapan terlalu tinggi di sini, cuma saya akan tampilkan aksi terbaik.
“Turun sebagai pemain bukan pilihan dan berdepan Fiona di laman sendiri merupakan sesuatu yang sangat sukar. Dia merupakan pemain yang sangat baik tetapi saya pernah bertemu dengannya sekali dan menang tipis 3-2,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Justeru, Wee Wern berharap dia mampu menampilkan aksi sama ketika mara ke separuh akhir Kejohanan Asia bagi melakar kemenangan ke atas Moverly, sekali gus menempah pertemuan dengan pemain No.5 dunia dari New Zealand, Joelle King yang sudah menunggu di pusingan kedua.
“Saya tahu aksi saya agak baik sejak kebelakangan ini, jadi saya harap mampu ulanginya ketika bertemu Fiona esok dan mara ke pusingan kedua. Ini adalah kejohanan terakhir saya musim ini, jadi saya mahu tamatkannya dengan keputusan terbaik.
“Satu keadaan yang amat bagus sekiranya saya mara ke pusingan kedua dan bertemu Jolle kerana dia adalah salah seorang pemain terbaik dunia. Jika saya mahu kembali ke prestasi lama, saya perlu berdepan pemain-pemain seperti Joelle,” ujarnya lagi. – K! ONLINE











