Seperti yang dibincangkan sebelum ini, pengunjung ke destinasi yang mempunyai keindahan batu karang wajar menghargai apa yang terdapat di situ. Mereka sepatutnya mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara seperti memijak, memegang malah elak daripada menyetuhnya. Itu merupakan pesanan dari mereka yang pakar dalam penyelidikan karang.
Ini kerana menurut penyelam skuba, terlalu ramai pengunjung menyebabkan kawasan yang indah dengan batu karang akan terjejas.
Terumbu karang adalah ekosistem marin yang paling tinggi kepelbagaian biologinya di bumi dan rumah kepada lebih 25 peratus daripada semua hidupan marin.
Malangnya, 75 peratus daripada terumbu karang dunia pada masa ini diancam oleh beberapa masalah seperti perubahan iklim, kerosakan habitat dan pencemaran air .
Justeru, jika kita menghargai karang, maka sayangi juga lautan yang menjadi tempat semula jadi karang. Sambutan Hari Lautan Sedunia (WOD) diadakan pada 9 Jun dengan tujuan menghargai lautan dan organisma marin.
Oleh itu, karang sebagai sebahagian organisma marin, bukanlan tunggul kayu sebaliknya ‘habitat’ kepada banyak haiwan di dasar laut.
Sebelum ini, banyak pihak telah menunjukkan komitmen untuk memulihara dan melakukan kerja-kerja propagasi karang termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kini industri juga turut menunjukkan komitmen sekali gus membuktikan semakin ramai tampil membantu dalam kerja-kerja pemuliharaan ke arah kelestarian ekosistem laut.
Sebagai bukti, Aquaria KLCC (Aquaria) juga telah melancarkan Program Konservasi Karang peringkat 1 bersama rakan-rakan konservasinya iaitu Taman Laut dan Universiti Malaysia terengganu (UMT) bermula tahun lepas sempena WOD.
Sebagai destinasi pelancongan popular di ibu negara yang berasaskan marin, Aquaria juga komited memulihara karang untuk faedah generasi akan datang.
Program Konservasi Karang tersebut menggabungkan kedua-dua usaha iaitu untuk memulihkan terumbu menerusi pendidikan selain meningkatkan kesedaran awam mengenai pentingnya memulihara ekosistem marin terutama karang.
Seperti yang dinyatakan oleh Pengurus Besar Aquaria, Daryl Foong, pihaknya menyasarkan supaya program tersebut dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai dan mendidik mereka tentang apa yang boleh dilakukan untuk membantu usaha tersebut.
“Aquaria juga akan bekerjasama dengan rakan kongsi, NGO dan lain-lain untuk menyediakan platform bagi orang ramai untuk memberi kesan dalam usaha pemuliharaan,” ujarnya.
Menerusi program tersebut, Aquaria memulakan bersama-sama dengan UMT dan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM)
- Penyelidikan dan propagasi karang – Bagi memastikan usaha tersebut berjaya, Aquaria KLCC akan menyediakan peralatan dan membiayai kos sebanyak RM65,000 untuk UMT menubuhkan tangki propagasi dan memantau kerja pemulihan karang.
Usaha penyelidkan dikendalikan oleh Dr. Tan Chun Hong yang juga Pensyarah Kanan Sekolah Sains Marin dan Alam Sekitar.
Aquaria KLCC juga akan menubuhkan tangki propagasi yang sama dalam akuarium untuk kepentingan pelawat.
- Restorasi karang – Bagi meningkatkan biodiversiti ekosistem marin serta melindungi dan memulihara terumbu karang yang rosak, Aquaria dan Taman Laut bersama sama memulihara kawasan tersebut.
Taman Laut akan membantu memberi nasihat dalam aspek restorasi yang telah bermula pada Ogos 2018.
- Pendidikan dan Outreach – Taman Laut akan melancarkan Coraltopia yang merupakan komik yang menyeronokkan.
Komik tersebut sebagai bahan membantu memberi penerangan mengenai kepelbagaian dan kepentingan terumbu karang dan bagaimana aktiviti manusia yang tidak lestari menyebabkan kerosakan kepada karang. Aquaria akan mengedarkan bahan tersebut kepada pelawat sebagai sebahagian daripada konsep menerapkan kesedaran dan pendidikan kepada mereka.
Karang ialah sejenis haiwan yang tergolong dalam Filum Cnidaria.
Struktur asasnya terdiri daripada polip yang mengandungi tentakel
Satu koloni karang boleh mengandungi ribuan polip yang menghasilkan kalsium karbonar bagi membentuk rangka luar dan membnina struktur terumbu karang.
Terumbu karang ialah satu ekosistem marin yang unik, kompleks produktivitinya.
Terumbu karang terbina daripada organisma-organisma yang sangat kecil saiznya.
Malaysia tergolong dalam sebahagian segitiga terumbu karang menjadikan menjadikan Malaysia dikenali dengan kepelbagaian biologi terumbu.











