Simpan kenangan bekas suami - Utusan Malaysia

Simpan kenangan bekas suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN 2019 merupakan bulan paling sepi buat dirinya. Tanpa suami, jauh sekali keluarga tersayang yang menetap di Sabah, jiwanya benar-benar berasa kehilangan yang teramat pada waktu ini.

Perasaan kosong itu lahir dalam sanu­barinya setiap kali memikirkan nasib diri. Yang jelas telah membuatkan penyanyi Nonny Nadirah Zainuddin, 30, percaya bahawa semua yang hidup di dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata.

Kisah kehancuran rumah tangga dengan bekas suami, Mustain Adnan, 37, adalah contoh terbaik dalam konteks pinjaman tersebut. Satu pengajaran paling berguna dalam hidupnya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selama ini dia membayangkan kisah cintanya dengan lelaki berkenaan akan kekal hingga ke syurga. Langsung tidak pernah terlintas yang jodohnya hanya sementara sebaik saja berumah tangga.

“Apapun saya bersyukur sekurang-kurangnya ada kenangan berpuasa bersama suami sewaktu bergelar isteri dulu. Itulah pengalaman manis yang boleh dikenang.

“Sebab kesunyian pada bulan puasa ini sangat berlainan sekali. Terus terang agak payah mahu mengusir kenangan bersama dia, sakitnya tidak terperi,” kata Nonny berkongsi rasa berpuasa solo tahun ini.

Pelakon drama Istikharah Cinta ini mengaku dia juga masih belum mem­buang terus kenangan terindah bersama bekas suaminya itu. Benar, dia masih sayangkan perkahwinan lamanya itu.

Tentang hubungan cinta yang telah terjalin selama sembilan tahun, begitu juga perkahwinan yang tidak sampai usia setahun itu. Mudah kata, dia masih belum mampu untuk melupakan segalanya.

“Untuk seorang wanita yang pernah mengecap nikmat perkahwinan walaupun sebentar, kenangan manis itu saja yang saya ada. Daripada saat diijabkabulkan, berbulan madu, berpuasa, beraya, menjalani kehidupan hingga saat berpisah.

“Masakan dengan mudah saya dapat membuang segala kenangan manis itu serta merta. Tidak mungkin perkara itu boleh terjadi,” ujarnya meluah rasa.

Kurang setahun selepas berkahwin pada 19 Mac 2018, pasangan ini mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing. Perpisahan itu berpunca daripada ketidaksefahaman antara kedua-dua belah pihak.

DARAH

SIRI kesepiannya itu semakin parah apabila tiba-tiba diserang kesakitan sewaktu bersendirian. Entah macam mana, tiba-tiba sahaja darah mengalir keluar daripada mulutnya pada Selasa (7 April) lalu .

Kejadian aneh itu amat menakutkan kerana berlaku tanpa simptom-simptom tertentu yang membuatkan dia betul-betul panik. Tambahan sebelum itu, dia dalam keadaan bertenang langsung tidak berbuat apa-apa.

“Kejadian yang terjadi pada awal pagi itu benar-benar membuatkan saya buntu. Memang panik sebab di kala tiada tempat mengadu, saya jadi ‘bodoh’ seketika.

“Tiada semena-mena juga saya merakamkan kejadian itu. Hanya itu saja yang berada dalam pemikiran saya ketika itu,” katanya merujuk kejadian tersebut.

Bimbang perkara buruk terjadi, pelakon drama Lara Terindah segera mendapatkan rawatan pakar perubatan. Itu adalah cara terbaik bagi mendapatkan kepastian tentang penyakit yang dialaminya itu.

Ada pihak merasakan kejadian aneh tersebut adalah anasir sihir atau ilmu hitam. Bagaimanapun perkara tersebut masih belum dipastikan lagi.

TEKNOLOGI

BAGI mengisi kekosongan, Nonny mengaktifkan diri dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat jika tidak terlibat dengan jadual seni.

Kecenderungan pelakon drama Melankolia ini kini terarah kepada bidang perniagaan pula. Dengan kemajuan teknologi masa kini, memberi banyak kelebihan buatnya untuk mengukuhkan ilmu itu.

“Walaupun bertudung, saya masih menerima tawaran berlakon. Cuma, keselesaan saya lebih kepada mempelajari ilmu bisnes yang dilihat lebih menjamin masa depan.

“Apa saja peluang membabitkan perniagaan dalam laman sosial, saya terbuka untuk menerimanya. Semua itu rezeki bukan,” kata pelakon drama Cekelat Cekelat Honey ini.

Dalam bidang nyanyian, Nonny kini sedang sibuk mempromosikan lagu berjudul Runtuh ciptaan Fynn Jamal. Lagu tersebut dikatakan mengambil inspirasi daripada kisah keruntuhan rumah tangganya.

HARAP JODOH BERTAUT KEMBALI

Pernah tak terfikir untuk kembali ke pangkuan bekas suami?

Nonny : Topik ini selalu bermain-main dalam fikiran saya. Kalau benar ada jodoh pada kemudian hari, saya terbuka untuk kembali di sisinya semula. Harapan ini amat besar memandangkan kami masih berhubungan antara satu sama lain hingga kini.

Jadi kenapa perlu melengah-lengahkan usaha yang murni itu?

Nonny : Susah nak cakap bab jodoh ini. Kami sentiasa mencari peluang itu. Jika ada jodoh kami lagi, sudah pastinya saya tidak akan melengah-lengahkan perkara baik itu.

Atau Nonny sudah ada pengganti lain?

Nonny : Oh tidak. Agenda yang itu langsung tiada dalam misi hidup saya buat masa kini.

KISAH CINTA NONNY, MUSTAIN

Bercinta:

Pasangan ini mengenali antara satu sama lain menerusi teman masing-masing sewaktu berada di sebuah stesen televisyen swasta. Keserasian antara mereka membuatkan mereka berkawan selama sembilan tahun. Mustain merupakan duda anak satu.

Bernikah:

Selepas mendapat restu daripada keluarga masing-masing, pasangan ini memutuskan untuk diijabkabulkan di Kota Kinabalu, Sabah pada 18 Mac 2018.

Berpindah rumah:

Gelora yang melanda antara pasangan ini menyebabkan pasangan ini mengambil keputusan untuk tidak lagi tinggal sebumbung sejak Oktober 2018.

Buang gambar suami dalam 
media sosial:

Di sini permulaan tercetusnya spekulasi keretakan rumah tangga Nonny apabila dia memadamkan semua 
gambar serta video mereka bersama dalam laman sosial, Instagram. Kejadian terjadi sekitar Oktober dan November 2018.

Umrah ke 
Tanah Suci:

Desas-desus perceraian Nonny-Mustain semakin kencang apabila wanita itu berangkat ke Tanah Suci Mekah tanpa suaminya sebagai mahram. Dia ditemani bapa saudaranya ketika menunaikan ibadah tersebut pada pertengahan Januari lalu.

Kisah perceraian diketahui 
umum:

Secara rasminya, Nonny mengumumkan tidak lagi bersama dengan Mustain pada 1 Mac 2019. Dia juga enggan mendedahkan tarikh sebenar perceraian. Tidak timbul isu orang ketiga, sebaliknya ia berpunca daripada kekurangan diri masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini