Sikit-sikit nak buat hibah - Utusan Malaysia

Sikit-sikit nak buat hibah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di dalam satu forum yang saya hadiri sebagai panel baru-baru ini, rakan panel saya menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Katanya, masyarakat sekarang sikit-sikit nak hibah.

Bila sebut merancang harta mesti nak buat hibah. Kenapa tidak percaya kepada hukum faraid? Kenapa hukum faraid mesti dilihat negatif dan pembahagiannya mesti menyebabkan perbalahan di antara waris?

Kenapa tidak diuar-uarkan kisah pusaka yang agihan mengikut hukum faraidnya berjalan lancar? Tambahnya lagi, promosi hibah hari ini dilihat terlalu berlebih-lebihan sehinggakan masyarakat tidak lagi melihat kebaikan hukum faraid.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya hanya tersenyum sambil memandang ke arah rakan panel tersebut yang kebetulan duduk di sebelah saya itu. Dia cepat-cepat mengatakan kenyataan itu tidak ditujukan kepada saya.

Memang ada pandangan sebegini saya temui dalam masyarakat. Saya memilih untuk menghormati pandangan rakan panel saya itu kerana pe­ngalaman lamanya di dalam urusan harta pusaka dan sebagai pakar hukum faraid.

Fenomena hibah

Saya juga menghormati pandangan pihak lain yang sama dengannya. Mereka termasuk saya mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang berbeza yang membentuk pandangan peribadi kita. Ia perbezaan pandangan yang wajar dirai dengan hati terbuka dan bukan didebatkan dengan emosi terluka.

Fenomena hibah ini menjadi semakin hebat selepas pengenalan Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang memperincikan tentang hibah takaful. Walaupun, Wasiy­yah Shoppe Berhad sendiri sudah memperkenalkan hibah kepada masyarakat sejak 2004, kami melihat peningkatan minat yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat mengenai hibah selepas 2013.

Hukum faraid adalah hukum yang tepat tentang pembahagian harta pusaka yang diperincikan di dalam Surah An’Nisa ayat 11, 12 dan 176. Dalam masa sama, penggunaan instrumen lain seperti hibah, wasiat dan harta sepencarian juga dibenarkan di dalam ruang lingkup hukum syarak.

Sebenarnya, tidak timbul isu hibah lebih baik daripada faraid atau faraid lebih baik daripada hibah. Setiap satunya mempunyai fungsi, hikmah tersendiri dan persyariatan yang jelas dalam agama. Di sinilah, peranan dai’e hukum faraid dan perancangan harta perlu diperhebatkan supaya masyarakat faham.

Jangan dididik tentang hukum faraid sahaja dengan menafikan terus fungsi instrumen perancangan harta lain seperti hibah, wasiat dan harta sepencarian. Dan, jangan juga dilakukan sebaliknya. Perbuatan melaga-lagakan instrumen ini dengan mengatakan yang satu lebih baik daripada yang lain adalah kurang bijak dan tidak berlandaskan ilmu.

Jangan ego

Kurangnya ilmu tentang sesuatu perkara tidak memberi justifikasi kepada kita untuk hanya menyokong perkara yang kita ketahui dan menidakkan perkara yang tidak diketahui.

Sebaik-baiknya, semua pe­ng­­amal dalam industri dan masyarakat juga berlapang dada meluaskan pembacaan, membuat kajian, belajar daripada pihak yang lebih tahu dan melihat pelaksanaan hibah di negara-negara Islam lain yang lebih matang undang-undangnya.

Selain itu, mereka juga perlu menghadiri perbincangan intelektual, bertukar pandangan secara rasional, melihat kemas­lahatan masyarakat dan melihat hukum syarak itu dalam bentuk yang lebih syumul dan bukan rigid.

Janganlah merasakan kita lebih tahu segala-galanya hingga tidak perlu lagi belajar daripada orang lain. Ego sebegini hanya menutup hati dan akal kita daripada belajar. Ilmu Allah itu sangat luas dan tiada seorang pun daripada kita yang hidup hari ini boleh mendakwa tahu serba-serbi.

Walaupun hukum faraid itu jelas, namun umat Islam mempu­nyai pilihan merancang hartanya selagi masih hidup. Asasnya, setiap orang perlu faham struktur faraid sendiri dan memahami kesan hukum faraid ke atas agihan hartanya selepas mati.

Betulkan tanggapan

Merancang harta melalui kaedah hibah bukanlah bermakna kita tidak percaya kepada hukum faraid. Kita hanya mahu menggunakan pilihan yang Islam tawarkan kerana pilihan itu menepati keperluan kita.

Analoginya, kita melihat dan mendengar banyak masalah yang timbul daripada poligami lalu terus membuat andaian poligami itu tidak bagus seda­ng­kan yang tidak bagusnya ialah individu yang berpoligami itu mungkin kurang ilmu tentang bagaimana poligami perlu diurus. Individu inilah yang menyebabkan poligami itu dipandang buruk.

Begitu juga dengan hibah. Mana mungkin hibah itu tidak bagus sedangkan ia juga adalah sebahagian daripada syariat Islam. Yang tidak bagusnya ialah apabila hukum-hakam dan perjalanan hibah itu tidak difahami dengan jelas oleh masyarakat.

Lebih buruk lagi ia tidak difahami dengan jelas oleh pihak yang mempromosikan hibah itu ke dalam masyarakat. Maka timbullah hujah seperti hibah lebih baik daripada faraid.

Masyarakat bila ingin menyediakan hibah mereka perlu memastikan bahawa ia dibuat dengan pihak profesional atau organisasi yang benar-benar mempunyai pengetahuan dan beroperasi di dalam ruang lingkup peruntukan undang-undang berkenaan.

Semak dulu latar belakang pihak yang ingin anda berurusan untuk penyediaan hibah supaya hibah tidak menjadi ‘hiba’.

Ariffin Sabirin adalah Pengasas Wasiyyah Shoppe Berhad

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini