PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kehadiran pekerja asing ke dalam negara berpunca dari sikap segelintir rakyat yang tidak mahu membuat kerja tertentu walaupun mereka sebenarnya mampu melakukannya sendiri.
Perdana Menteri menegaskan bahawa dasar kerajaan amat jelas bahawa keutamaan pekerjaan di negara ini adalah kepada warganegara.
Beliau berkata, untuk itu, kerajaan telah mengambil pelbagai tindakan untuk memastikan pekerja asing yang digaji hanya apabila mereka benar-benar diperlukan oleh sektor-sektor yang kurang mendapat sambutan pekerja tempatan seperti sektor jenis 3D (Dirty, Dangerous & Difficult).
“Perlu saya nyatakan bahawa kehadiran pekerja asing ke dalam negara kita berpunca dari sikap kita yang tidak mahu membuat kerja tertentu walaupun kita sebenarnya mampu melakukannya
sendiri.
“Maka, peluang itu direbut oleh pekerja asing dan akhirnya mereka menjadi kaya dan rakyat negara ini pula kekal atau menjadi miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Pekerja 2019 bertemakan Pekerja Amanah Aspirasi Negara di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran dan Ketua Setiausaha Negara,
Datuk Seri Ismail Bakar.
Sementara itu, Mahathir berkata, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sedang dalam proses meminda beberapa lagi undang-undang Perburuhan bagi memastikan pekerja mengetahui hak masing-masing.
Menurutnya, antara akta itu termasuklah Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, dan Akta Kerja 1955.
“Secara umum, undang-undang perburuhan yang di dalam proses pindaan meliputi standard minimum pekerjaan, kesatuan sekerja, perhubungan perusahaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Ini bertujuan untuk menambah baik kebajikan dan perlindungan sosial pekerja tanpa menafikan peranan dan sumbangan para majikan dalam pembangunan negara,” katanya.
Sementara itu, Mahathir berkata, kerajaan bercadang memperluaskan pemakaian
Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) agar lebih ramai golongan bekerja sendiri mendapat perlindungan daripada risiko kemalangan di tempat kerja sebagaimana pekerja dalam sektor formal.
“Ini termasuklah golongan nelayan, petani, pekebun kecil, penjaja, penggiat seni dan lain-lain seumpamanya,” katanya. – K! ONLINE











