Setahun PH: Prestasi janji kerajaan 39.01 peratus - Utusan Malaysia

Setahun PH: Prestasi janji kerajaan 39.01 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan prestasi pencapaian janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi tempoh setahun adalah sebanyak 39.01 peratus.

Perdana Menteri berkata, prestasi untuk tempoh 10 Mei 2018 hingga 30 April lalu itu diukur menerusi status kemajuan 464 inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan-tindakan spesifik yang dinyatakan dalam setiap janji PH.

“Sebanyak 53 inisiatif atau 11.42 peratus telah ditunaikan daripada 128 inisiatif manakala 283 inisiatif atau 60.99 peratus adalah di peringkat dalam perancangan atau belum mula.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 29.34 peratus berbanding 9.67 peratus pada 31 Disember tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pada majlis itu, lebih 1,000 tetamu terdiri daripada barisan menteri, timbalan menteri, menteri besar dan ketua menteri serta wakil-wakil kementerian dan agensi kementerian hadir sempena ulang tahun setahun pentadbiran PH itu.

Mahathir berkata, pihaknya sedar bahawa ramai dalam kalangan rakyat yang tidak berpuas hati dan menuduh kerajaan PH telah gagal memenuhi beberapa janji-janji yang terdapat di dalam manifesto.
 
Beliau menjelaskan, apabila mengambil alih kerajaan, pihaknya mendapati kerosakan yang berlaku begitu besar sehingga mereka tiada berkeupayaan untuk memenuhi janji-janji itu seberapa segera yang mungkin.
 
“Keutamaan kerajaan berubah apabila mendapati kerosakan yang berlaku itu terlampau parah dan perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Mahathir berkata, kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan semua inisiatif di bawah Janji Kerajaan dipenuhi supaya pencapaian pada masa akan datang tercapai di atas semangat inklusiviti dan nilai keadilan.

Menurutnya, ini akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat berlandaskan perkongsian kemakmuran.

“Dalam tempoh setahun, kerajaan PH telah berusaha sedaya mungkin untuk memenuhi seberapa banyak tanggungjawab untuk memenuhi janji-janji dan keperluan-keperluan yang boleh menyenangkan hidup rakyat.

“Memang ada kekurangan dan kesilapan dan untuk itu, kerajaan ini akan terus berusaha untuk memperbaikinya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini