Serah dewan elak tindakan tegas - Khalid - Utusan Malaysia

Serah dewan elak tindakan tegas – Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Mei – Pengendali 46 dewan orang ramai sekitar Kuala Lumpur yang masih belum menyerahkan dewan itu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta segera berbuat demikian bagi mengelak tindakan lebih tegas.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, sejak arahan dikeluarkan pada tahun lalu, pihak terbabit masih lagi gagal menyerahkan dewan orang ramai di bawah selian mereka yang tidak mendapat kebenaran rasmi daripada DBKL, kepada pihak berkuasa tempatan itu.

Jelasnya, 46 dewan itu adalah sebahagian daripada 203 dewan orang ramai yang diselia oleh pihak tertentu yang diberi kuasa oleh individu tertentu di bawah kerajaan terdahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun jelasnya, 157 daripada dewan itu telah diserahkan kembali kepada DBKL bagi membolehkan perancangan, kerja-kerja baik pulih termasuk aspek keselamatan dilakukan.

“Jadi, saya seru 46 dewan itu yang diuruskan tanpa kebenaran rasmi daripada DBKL diserahkan balik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Khalid, dewan itu diuruskan oleh pelbagai pihak kebnayakannya parti politik dan pihak DBKL telah beberapa kali memberikan notis, namun tidak dipatuhi sehingga kini.

“ Satu lagi notis mungkin terakhir akan dikeluarkan selepas hari raya, jika tidak serah juga kita akan gunakan hak kita dari segi undang-undang untuk ambil balik, harap tidak ada tindakan keras akan diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, isu peniaga trak makanan atau food truck mogok di Kuala Lumpur baru-baru ini telah berjaya diselesaikan.

Beliau berkata, pihak DBKL telahpun mengadakan pertemuan dengan peniaga-peniaga terbabit dan berjaya mencapai penyelesaian masalah yang mereka hadapi.

Jelasnya, masalah timbul apabila peniaga terbabit tidak berbincang dengan DBKL mengenai tindakan mereka hendak berniaga di kawasan Jalan Raja.

“Nasihat saya, bila nak buat sesuatu bincang bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini