SEMPENA Ramadan ini, Restoran Riverside yang terletak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur menawarkan lebih 250 juadah berbuka puasa untuk sepanjang bulan itu.
Menawarkan masakan ala kampung, menu yang akan bertukar setiap minggu itu dihidangkan oleh pasukan cef PWTC yang diketuai oleh Cef Eksekutif Suzaini Mohamed Salih.
Antara menu yang bakal menawan selera pengunjung adalah Ayam Kampung Kerisik dan Betik Muda, Ayam Gulai Minang dan Daun Salam, Kambing Masak Kari Utara, Ikan Pari Asam Pedas Sayur Jeruk serta Ikan Patin Tempoyak dengan Timun Tua.
Turut dihidangkan adalah Ayam Brastagi, Ikan Tenggiri Masak Kari Hijau dengan Terung Telunjuk, Siput Sedut Masak Lemak Kuning, Kerabu Pegaga dan Daun Kaduk serta Daging dan Paru Kari Kawah.
Hidangan lain yang turut ditampilkan adalah 13 jenis ulam, enam jenis keropok, tujuh jenis ikan masin, 14 jenis sambal dan dressing, 13 jenis kerabu, kambing goreng berempah serta banyak lagi.
Kaunter bufet juga menyediakan hidangan manisan dan pencuci mulut seperti lapan jenis kuih-muih tradisional Melayu, lima jenis kek, empat jenis pai, aneka jeli, tiga jenis bubur manis dan pelbagai lagi.
Di samping itu, terdapat juga warung minuman sejuk dan panas yang menyediakan air tebu, air mata kucing, air sirap, air barli, air batu campur, tiga perisa ais krim serta kopi dan teh tarik.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, PWTC turut menyediakan menu wajib iaitu kambing panggang yang dihidangkan dengan sos lada hitam dan sos cendawan.
Promosi bufet Ramadan Restoran Riverside akan bermula dari 8 Mei hingga 3 Jun dengan waktu operasinya bermula pukul 6 petang hingga 10 malam.
Pengunjung boleh menikmati juadah pada harga RM88 seorang untuk dewasa manakala kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun berharga RM45 seorang.
Untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas pula, harga bufet Ramadan yang dikenakan hanya RM75 seorang.
Pihak PWTC turut menawarkan promosi ‘early bird’ dengan harga RM75 seorang sekiranya pelanggan membeli baucar Ramadan sebelum 5 Mei. Baucar tersebut boleh digunakan sehingga akhir bufet Ramadan pada 3 Jun.
Untuk pakej perseorangan dan korporat pula, PWTC menyediakan pakej bermula daripada RM98 seorang bagi tempahan minimum 100 orang.
Pakej itu termasuk hidangan bufet, dewan khas untuk berbuka puasa, sistem audio, ruang solat khas serta kadar parkir tetap bernilai RM5 bermula dari pukul 6 petang.
Selain itu, pengunjung boleh menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah di Surau Ar-Rahman yang terletak di Aras 3, PWTC.











