'Selepas malam ini tiada lagi soalan' - Utusan Malaysia

‘Selepas malam ini tiada lagi soalan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 1 Mei – ‘Selepas malam ini tiada lagi soalan’ adalah ungkapan terakhir yang menjadi kenangan dalam kalangan 150 jemaah Surau An-Nur Fasa 3 Bandar Seremban Selatan dekat sini malam tadi.

Mereka sebelum itu mendengar kuliah bertajuk ‘Di Ambang Ramadan’ oleh almarhum pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 72, yang datang ke surau berkenaan.

Pada akhir kuliah itu, Allahyarham telah meminta para jemaah surau itu mengajukan soalan kepadanya dan melafazkan ungkapan itu selepas tiada lagi pertanyaan dan menutup kuliahnya dengan bacaan doa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiausaha surau itu, Allaudin Shah Maidin Syed berkata, Allahyarham tiba di surau berkenaan kira-kira pukul 8 malam dan menyampaikan kuliah sehingga pukul 9.30 malam.

Katanya, Allahyarham hanya mengadu mengenai kesesakan jalan raya yang terpaksa ditempuhnya selama dua jam dari Kuala Lumpur ke sini sehingga menyebabkan beliau lewat tiba.

“Kami semua mendengar kuliahnya yang sememangnya sentiasa menarik minat kepada sesiapa pun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, tiada yang aneh mengenai kuliah Allahyarham atau semasa para jemaah menemuinya dalam jamuan makan yang dihidangkan oleh surau selepas majlis tersebut.

“Allahyarham memberitahu beliau sudah lama tidak makan nasi dan hanya makan kuih.

“Kami bersalaman dengan beliau sebelum Allahyarham menaiki kereta untuk pulang,” ujarnya.

Allaudin Shah memberitahu, para jemaah berasa terkejut dan sedih apabila mendengar berita pagi ini mengenai kematian Abu Hassan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini