KUALA LUMPUR 12 Mei – Selepas sekadar seri dalam dua perlawanan terakhir, Selangor tekad untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ke-13 Liga Super 2019 menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Rabu ini.
Perlawanan penting buat Red Giants kerana ia peluang terbaik mereka untuk merampas tempat ketiga liga daripada Lang Merah.
Dalam aksi terdahulu, Selangor seri 1-1 ketika bertandang ke Stadium Darul Aman dengan Sandro Da Silva menjadi penjaring tunggal Red Giants.
Pada perlawanan kali ini, Amri Yahyah, Nurridzuan Abu Hassan, Azreen Zulkafali bakal kembali memperkuatkan pasukan Selangor selepas selesai menjalani penggantungan perlawanan.
Selain itu, K. Prabakaran juga sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan selepas tidak diturunkan pada perlawanan lalu atas faktor kecederaan.
Sudah pasti perkara ini sedikit sebanyak menyuntik semangat pemain untuk memburu kemenangan.
Begitupun, khidmat Sean Selvaraj terpaksa dilupakan kerana menjalani penggantungan akibat mengumpul tiga kad kuning. – UTUSAN ONLINE











