KUALA LUMPUR 22 Mei – Perjalanan hebat Datuk Nicol David sebagai pemain skuasy berakhir secara rasminya hari ini selepas dia tumpas pada pusingan kedua Terbuka Britain di Hull, England.
Nicol, 36, menunjukkan semangat juang tinggi menentang pemain No. 3 dunia, Nour El Tayeb dari Mesir sebelum tumpas 4-11, 7-11, 13-11, 5-11 dalam masa 41 minit.
Biarpun gagal menjulang kejuaraan dalam penampilan terakhirnya, Nicol tetap dikenang sebagai pemain wanita terhebat sepanjang zaman dengan deretan kejayaan yang dikecapinya.
Terbuka Britain sendiri amat dekat di hati jaguh kelahiran Pulau Pinang itu kerana dia menjuarai kejohanan berprestij itu lima kali, malah
kekal sebagai satu-satunya pemain Asia yang pernah dinobat sebagai juara wanita.
Pada Februari lalu, Nicol mengumumkan akan bersara sebaik sahaja kalendar Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2018/2019 berakhir, dan Terbuka Britain adalah aksi terakhirnya.
Nicol menutup karier selaku juara dunia lapan kali, malah memiliki 81 gelaran PSA dan menghuni takhta No. 1 dunia selama 109 bulan berturut-turut dari 2006-2015.
Sementara itu, dalam satu lagi saingan, Low Wee Wern ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan kelima, Joelle King dari New Zealand 6-11, 4-11, 9-11. – UTUSAN ONLINE











