BAKU – Perancang tengah Chelsea, Eden Hazard mengesahkan bahawa aksi final Liga Europa awal pagi semalam merupakan penampilan terakhirnya bersama kelab London tersebut.
Pada perlawanan itu, The Blues berjaya merangkul trofi berkenaan menerusi kemenangan bergaya 4-1 ke atas Arsenal di Stadium Olimpik Baku.
“Saya fikir sudah tiba masanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada Chelsea serta para penyokongnya. Cita-cita saya sentiasa mahu beraksi di kancah Liga Perdana England (EPL) dan saya telah beraksi di London selama tujuh tahun.
“Kini saya mahu mencari cabaran lain di luar sana. Mengenai pasukan yang akan saya sertai musim hadapan, ia akan diumumkan secara rasmi dalam beberapa hari lagi,” kata Hazard.
Pemain antarabangsa Belgium itu sebelum ini telah dikaitkan dengan penghijrahan ke kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Namun, pemain berusia 28 tahun itu memberi bayangan bahawa pasukan yang akan disertainya pada musim hadapan ialah pasukan yang mampu menyempurnakan impiannya untuk merangkul trofi pada setiap tahun.
“Sasaran saya adalah untuk meraih trofi dan saya telah memilih destinasi yang seterusnya. Saya telah bercakap tentang perkara ini dua minggu lalu dan kini segala-galanya bergantung kepada persetujuan Chelsea dengan kelab berkenaan,” katanya. – Agensi











