Varieti belimbing B10 dan B17 atau dikenali sebagai belimbing madu amat popular di negara Eropah dan Asia kerana bentuk dan rasanya.
Pun begitu, kedua-dua verieti itu sudah terlalu lama dalam pasaran sehingga menyebabkan buah tersebut kurang disukai oleh masyarakat tempatan.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sentiasa melakukan penyelidikan pembaikbakaan bagi mengurangkan kebergantungan hanya kepada satu klon untuk

eksport yang sekali gus menghadkan pengembangan pasaran.
Baru-baru ini, MARDI memperkenalkan klon baharu belimbing hibrid pertama di negara ini bagi memastikan belimbing kembali berdaya saing dalam pasaran termasuk di peringkat antarabangsa.
Belimbing yang berasaskan klon B17 itu diberi nama Bintang Mas bermula dengan aktiviti pengumpulan sumber genetik sejak 1986.
Belimbing ini sedap, tekstur lembut dan manis pastinya akan menjentik keterujaaan pengusaha buah-buahan untuk menanam secara besar besaran.
Bentuk belimbing bagaikan bintang apabila dipotong melintang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi lantaran menjadi kesukaan warga Eropah dan Asia.
Masyarakat Eropah gemar memakan belimbing muda yang dijadikan sebagai penghias makanan atau sebahagian daripada salad kerana mempunyai sumber vitamin C yang baik.
Tanaman yang berkemungkinan berasal dari Sri Lanka atau kepulauan Asia Tenggara terutama Malaysia dan Indonesia ini diminati bukan sahaja kerana bentuknya yang unik, malah warna kuning keemasan menjadikan belimbing Malaysia amat popular.
Malaysia merupakan antara pengeluar dan pengeksport belimbing utama dunia dengan purata eksport bernilai RM28 juta atau jumlah pengeluaran 3,700 tan metrik tan setahun sejak sedekad lalu iaitu antara 2008 hingga 2017.
Nilai eksport agak stabil disebabkan oleh harga pasaran global semakin meningkat walaupun trend pengeluaran dan keluasan bertanam menunjukkan penurunan sebanyak 33 peratus iaitu 1,244 hektar pada tahun 2000 kepada 828 hektar pada 2017.
Jumlah tersebut menunjukkan kepentingan dan potensi besar belimbing dalam menjana pendapatan negara.











