KUALA LUMPUR 4 Mei – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disarankan supaya dapat melakukan kunjungan rasmi ke atas Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Kerajaan Arab Saudi bagi mengukuhkan kembali hubungan dua hala.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hubungan dingin antara dua negara dapat dikesan setelah Malaysia tidak lagi mendapat keistimewaan kuota tambahan haji dari Raja Salman.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus sedar antara faktor yang mungkin menyebabkan hubungan dingin itu adalah penutupan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KCSIP) yang hanya diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kepada media tanpa melalui saluran rasmi kerajaan.
“Ditambah pula dengan lawatan terbaru Mohamad ke Iran baru-baru ini untuk menjalinkan hubungan ketenteraan antara dua negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Asyraf Wajdi yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, demi kepentingan rakyat adalah lebih baik Dr. Mahathir melakukan kunjungan rasmi tersebut, seperti yang dilakukan ke China, baru-baru ini.
“Malaysia harus kekal dengan dasar luar negara seperti Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu iaitu dasar berbaik dengan semua negara bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat terpelihara,” katanya. – UTUSAN ONLINE











