Saman fitnah: Sultanah Nur Zahirah mohon penghakiman - Utusan Malaysia

Saman fitnah: Sultanah Nur Zahirah mohon penghakiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Sultanah Nur Zahirah memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah penghakiman terus dalam kes saman yang dikemukakan terhadap pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown serta dua lagi berhubung kenyataan fitnah dalam buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Datuk Haziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Terengganu itu selepas pengurusan kes di kamar Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Sultanah Nur Zahirah selaku pihak plaintif memfailkan saman terhadap Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak buku tersebut, Vinlin Press Sdn. Bhd. masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Haziq ketika ditemui berkata, penghakiman terus itu difailkan mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi pada 13 Mei lalu bagi memohon supaya hakim memutuskan sama ada kenyataan berkenaan adalah fitnah atau sebaliknya.

Penghakiman terus adalah keputusan mahkamah tanpa melalui perbicaraan penuh di mana kes itu akan diputuskan mengikut fakta undang-undang.

Dalam penyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Rewcastle-Brown mengeluarkan kenyataan dalam buku itu sekitar Ogos tahun lalu dan buku berkenaan dicetak oleh Vinlin Press.

Dakwa Sultanah Nur Zahirah, kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran negeri Terengganu serta menggunakan peranannya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) dan menolong Jho Low, atau nama sebenar Low Taek Jho, bagi mendapatkan peranan sebagai penasihat di TIA.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu serta memohon defendan ketiga menghenti pencetakan lanjut salinan buku berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini