Saluran gas SSGP bocor lagi - Utusan Malaysia

Saluran gas SSGP bocor lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Mei – Kakitangan Petronas Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP), Lawas, Sarawak berdepan detik cemas apabila saluran paip di injap SL106 di Long Segaman dekat sini mengalami kebocoran awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.37 pagi itu, kejadian tersebut dapat dikawal dengan segera apabila sekumpulan kakitangan SSGP yang bertugas di situ berjaya mengawal kebocoran dengan menutup injap berhampiran paip gas berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Zaki Hussin berkata, sepasukan enam anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, setiba sahaja mereka di tempat kejadian didapati berlaku kebocoran pada corong pelepasan menyebabkan api keluar pada corong paip gas itu.

“Tindakan segera diambil oleh lapan petugas SSGP dengan menutup injap berhampiran paip gas berkenaan dan berjaya menutup kebocoran.

“Pasukan bomba kemudian bertindak memantau kebocoran gas itu dan memeriksa semua saluran paip berdekatan,” katanya.

Tambah Zaki, lokasi kejadian terletak kira-kira sembilan kilometer dari pekan Lawas dekat sini dan tiada penempatan penduduk berdekatan.

“Selepas pemeriksaan mendapati keadaan selamat, operasi ditamatkan kira-kira pukul 2.42 pagi,” katanya.

Pada 10 Januari tahun lalu, kebocoran turut berlaku pada saluran paip gas dari Sabah ke Sarawak itu di Long Luping yang terletak antara Limbang dan Lawas dekat sini.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini