SALAHKAH BERGAMBAR BERDUA? - Utusan Malaysia

SALAHKAH BERGAMBAR BERDUA?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKITAR Mac lalu, penyanyi Ara Johari pernah membuatkan ramai peminat dan pengikut media sosialnya tertanya-tanya mengenai status dirinya.

Memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan dia duduk di kerusi pelamin sambil memegang bunga tangan, Ara disangka baru sahaja melangsungkan majlis pertunangan.

Namun tiada pula gambarnya bersama lelaki berkenaan dan penyanyi ini tidak pula menjawab atau mengesahkan perihal pertunangan itu apabila ditanya ramai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak lama kemudian, Ara dilihat memuat naik sekeping gambar dengan seorang lelaki bernama Idzwan Shah berserta kapsyen mengundang spekulasi berbentuk emoji bunga.

Bagaimanapun apabila bertemu dan bertanyakan perkara itu pada Ara, penyanyi ini cuma tertawa sambil menganggap tiada yang serius mengenai hubungannya dengan Idzwan.

“Memang saya akui, saja buat gimik duduk atas pelamin tu walaupun tiada sebarang lagu baharu pun yang akan keluar.

“Lelaki itu pula adalah kawan baik saya dan sebagai kawan apalah salahnya saya letak gambar kami berdua dalam Instagram bukan?” katanya menjernihkan keadaan.

Menurut Ara, hubungannya dengan Idzwan tidak lebih daripada seorang kawan dan mengaku lelaki berkenaan adalah sahabatnya yang sentiasa ada ketika dalam keadaan susah dan senangnya.

“Saya dah agak dah perkara itu akan jadi isu tetapi malas nak ambil peduli sangat sebab memang tak ada apa yang serius pun tentang hubungan kami,” katanya.

TAK PERNAH JADI

MENGAKU sebelum ini ada sahaja memuat naik gambarnya bersama teman-teman lelaki, timbul rasa hairan pada dirinya mengapa baru sekarang perkara seperti ini timbul.

Katanya, sebagai seorang individu yang belum mempunyai teman istimewa, tidak salah untuk dia memuat naik gambar dengan sesiapa sahaja.

“Saya pun tak tahu kenapa jadi macam ni kali ini. Bila muat naik gambar dengan dia, orang kata itulah kekasih dan tunang saya. Padahal saya belum bertunang pun. Bercinta pun tidak,” katanya.

Berbicara lanjut, kata Ara dia belum lagi mahu memikirkan urusan perkahwinan kerana menganggap belum masanya lagi untuk ke arah itu.

Bukan tidak mahu berkahwin, tetapi kata wanita berusia 21 tahun ini dia menunggu lima tahun lagi baharulah memikirkan perihal menamatkan zaman bujang.

“Banyak lagi impian dan sasaran belum tercapai, jadi untuk terjah ke alam rumah tangga pada waktu sekarang memang bukan dalam senarai hidup saya lagi.

“Dalam fikiran saya lebih kepada keluarga dan kerjaya. Kalau boleh, saya nak membahagiakan dahulu ibu bapa dan keluarga kemudian baharulah fikir diri sendiri,” katanya.

Memasang hajat untuk memberi segala kemudahan dan kesenangan pada ibu bapanya, kata Ara sebagai anak, dia enggan lagi melihat kedua orang tuanya hidup susah dan bekerja.

Baginya, sedaya boleh biarlah dirinya menyenangkan kedua orang tua kerana sedar sejak dari kecil, mereka hidup bukan dalam keadaan serba mewah.

“Jadi saya perlu bekerja keras. Bukan bermakna saya sahaja menjadi tulang belakang keluarga, tapi abang sulung saya juga begitu, menanam azam mahu berbakti pada keluarga.

“Insya-Allah, satu hari nanti saya mahu bawa ibu bapa menunaikan umrah dan haji, kemudian membelikan rumah dan kereta baharu buat mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini