PORT DICKSON 4 Mei – Menjelang bulan Ramadan yang hampir tiba, Hotel Lexis Hibiscus di sini menawarkan bufet berbuka puasa bertemakan ‘Sajian Selera Desa’.
Hotel itu menawarkan tiga set berlainan menu melebihi 100 hidangan menyelerakan terdiri daripada sajian utama, aneka sup, minuman dan pencuci mulut yang dihidangkan di Roselle Coffee House di hotel berkenaan.
Orang ramai boleh menikmati masakan Melayu yang istimewa termasuklah kambing kuzi yang dihidangkan bersama nasi hujan panas.
Selain itu, pasukan kulinari hotel yang diketuai Chef Sous Eksekutif, Nik Ahmad Noorman Syah turut menyediakan sajian rendang ayam minang dengan pucuk ubi dan itik salai masak lemak belimbing buluh.

Menurut Pengarah Komunikasi hotel tersebut, Jini Sebastian penggemar makanan laut juga boleh menikmati sajian ikan keli berlado petai, tenggiri masak asam pedas dan udang goreng berempah bersama ulam-ulaman seperti pucuk pegaga, pucuk gajus dan tenggek burung.
Tambahnya, hidangan lain seperti telur itik masak lemak belimbing buluh, kari kambing berkentang, mee hailam dan gulai udang dengan nenas turut disajikan sepanjang bulan Ramadan kali ini.
“Bagi mereka yang menyukai masakan arab, pihak hotel juga menyediakan hidangan seperti nasi arab, roti pita, hummus dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Nik Ahmad berkata, hotel itu menyediakan resipi asli yang diperbuat daripada bahan-bahan dan ramuan segar untuk memastikan kualiti dan rasa makanan.
“Saya juga menggunakan cara tradisional untuk menggabungkan rempah dengan tidak menggunakan alat pengisar,” ujarnya.
Tidak lengkap juadah tanpa minuman dan orang ramai boleh menikmati pelbagai jenis minuman seperti teh tarik, sirap bandung, air kurma dan ais kacang untuk membasahkan tekak selepas seharian berpuasa.

Turut ditawarkan pencuci mulut seperti badak berendam, talam cendol, wajik dan dodol yang pasti memikat selera.
Bufet Ramadan kali ini ditawarkan pada harga RM128 untuk dewasa dan RM65 untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun mulai 6 Mei hingga 4 Jun.
Untuk tempahan, boleh menghubungi talian 06-6602626 sambungan 2646. – UTUSAN ONLINE











