ZHEJIANG, China – Saintis di Universiti Perubatan Zhejiang berjaya mencipta sejenis gam-bio yang akan mengeras di bawah sinar ultraungu (UV) bagi menutup luka parah di bahagian organ dalaman dalam tempoh beberapa saat sahaja.
Menggunakan hati seekor babi sebagai demonstrasi, gam dalam bentuk gel tersebut dilihat menutup bukaan pada luka besar dalam tempoh 20 saat sahaja selepas ia diaktifkan menggunakan sinar UV.
Dengan adanya ciptaan baharu tersebut, para doktor kini boleh menghentikan pendarahan teruk yang boleh menyebabkan kematian ketika pembedahan jantung atau dalam hal-hal kecemasan dengan akses perubatan terhad seperti di medan perang.
Pakar terapi regeneratif di universiti tersebut, Profesor Hongwei Ouyang berkata, gel tersebut memiliki sifat seakan-akan getah ataupun tisu penghubung.
“Bila didedahkan kepada sinar UV, bahan organik pada permukaan tisu hidrogel itu bertindak balas dengan kumpulan amino pada protein tisu badan sekali gus membentuk tampalan kukuh. Komponen tersebut dan sifat mekanikal hidrogel itu juga meniru ciri tisu lembut sebenar,” katanya. – Agensi











