KUALA LUMPUR – Sebuah rumah teres yang telah diubahsuai menjadi ruangan pejabat serta asrama pekerja hangus dijilat api dalam satu kebakaran di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru di sini petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan yang memaklumkan tentang kejadian kira-kira pukul 6.19 petang sebelum bergegas ke lokasi.
“Susulan panggilan tersebut, seramai 23 anggota dengan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, BBP Bandar Tun Razak serta BBP Sentul telah dikejarkan ke lokasi bagi memadamkan api.
“Sebaik tiba ke lokasi kira-kira pukul 6.33 petang, anggota bertugas mendapati, rumah teres berkenaan sedang marak dijilat api dan dianggarkan musnah sebanyak 60 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut kenyataan tersebut, sebanyak tiga buah motosikal yang diletakkan berhampiran rumah tersebut turut musnah sepenuhnya dijilat api.
“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati dua buah bilik di rumah tersebut telah dijadikan sebagai asrama pekerja manakala sebuah lagi bilik diubahsuai menjadi ruangan pejabat.
“Api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 6.50 petang dan tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan namun siasatan masih dilakukan bagi mengenalpasti punca kebakaran,” katanya. – K! ONLINE











