Rumah sebuah keluarga hangus, dugaan menjelang Aidilftri - Utusan Malaysia

Rumah sebuah keluarga hangus, dugaan menjelang Aidilftri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI 27 Mei – Sebuah keluarga berdepan ujian getir ketika Hari Raya Aidilfitri semakin hampir apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran di Jalan Enggang, di Felda Taib Andak di sini hari ini.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari semasa sebuah keluarga yang didiami pasangan suami isteri serta dua anak saudara dan dua anaknya masing-masing berusia setahun dan enam bulan berada dalam rumah terbabit.

Seorang mangsa, Nur Laili Hassan berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja sebelum menerima panggilan daripada ahli keluarga berhubung kejadian terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bersyukur kerana mereka (ahli keluarga) sempat keluar dan menyelamatkan diri. Api marak begitu cepat kerana angin kuat. Menurut ahli keluarga api bermula dari sebuah bilik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Laili menambah, walaupun bersedih dia dan keluarganya reda dengan kejadian itu.

“Kami sekeluarga masih belum memikirkan perancangan untuk menyambut Hari Raya nanti. Apa yang penting ialah semua ahli keluarga selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Khairi Zainuddin berkata, bomba menerima panggilan pukul 12.57 tengah hari tadi.

Katanya, sebanyak 11 anggota bersama tiga buah jentera dari BBP Kulai, Skudai dan Bandar Baru Kulai dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal. Kebakaran terbabit juga telah memusnahkan 50 peratus daripada keseluruhan rumah.

“Sebuah kereta Jenis Proton Savvy juga turut terbakar. Pihak bomba mengalami kesukaran untuk memadamkan kebakaran ekoran jarak pili bomba yang jauh. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini