TURIN 20 Mei- Spekulasi hangat yang menyatakan Antonio Conte bakal menggantikan Massimiliano Allegri sebagai pengurus baru Juventus pada musim panas ini mengundang rasa ‘tidak suka’ buat Christiano Ronaldo.
Bintang Juve itu turut memberi reaksi negatif apabila diberitahu Conte bakal menjadi bos baharu di kelab tersebut menerusi laporan akhbar Itali, La Repubblica.
Laporan akhbar itu juga turut menyatakan Ronaldo mencadangkan kelab itu mendapatkan Carlo Ancelotti atau Jose Mourinho yang dilihat lebih sesuai menyandang kerusi hangat di Turin itu.
Kontrak Allegri bersama Juventus selama lima musim telah berakhir semalam, dengan menamatkan tugasnya, membantu pasukan meraih gelaran Serie A buat kali kelapan berturut-turut selepas seri 1-1 dengan Atalanta.
Tumpuan kini tertumpu kepada calon yang akan menggantikan Allegri selaku pengendali baru juara Itali itu dengan Conte, bekas pengurus Juve antara calon yang disebut-sebut.
Penyerang Portugal itu bimbang cara permainannya akan terjejas oleh pendekatan pragmatik Conte malah, bekas pengendali Chelsea itu juga dikenali sebagai seorang yang sangat berdisiplin.
Conte, 49, pernah mengendali Juventus antara tahun 2011 hingga 2014 dan membawa kelab itu memenangi tiga gelaran Serie A. – AGENSI











