BAITULMUQADDIS 8 Mei – Perang Gaza minggu lalu menunjukkan kemampuan roket buatan sendiri pejuang Palestin di Gaza berjaya menembusi sistem pertahanan canggih Israel.
Washington Post yang memetik pakar persenjataan melaporkan, kunci kepada keberkesanan senjata pergerakan Hamas dan Jihad Islam bukanlah terletak kepada kecanggihan dari segi jarak atau ketepatan tetapi sebaliknya.
ROKET BUATAN PALESTIN MUDAH DIHASILKAN
Kos pembuatan roket itu adalah sangat murah serta mudah dibuat dan dalam sesetengah keadaan, hanya memerlukan sedikit selongsong besi dan bahan letupan sekali gus membolehkan pergerakan tersebut menghasilkan roket dalam jumlah yang banyak.
“Ia lebih kepada senjata berbentuk statistik yang bermaksud mereka lebih mengutamakan kuantiti dan bukannya kualiti.
“Apabila peluru berpandu itu dibina bukan untuk ketepatan, adalah sangat mudah untuk membina roket sekiranya kamu tidak benar-benar peduli di mana ia akan jatuh,” kata Pengarah Institusi Antikeganasan Antarabangsa, Boaz Ganor.
Tambah Ganor, kos bahan diperlukan untuk membina sebuah roket dikenali sebagai Qassam hanya bernilai ratusan dolar berbanding jumlah persenjataan yang dibelanjakan Israel.
Beberapa pakar yang memantau gudang senjata pergerakan Hamas dan pejuang Jihad Islam menganggarkan, kedua-dua kumpulan itu menyimpan kira-kira 5,000 hingga 20,000 roket.
Menurut rejim Zionis, hampir 700 roket dan mortar termasuk tembakan dilancarkan dari Gaza ke Israel manakala lebih 400 daripada senjata tersebut menembusi sistem pertahanan udara Israel.
Sistem pertahan udara Iron Dome hanya berjaya memintas 240 roket manakala 90 lagi roket gagal melepasi sempadan.
Dalam perang tiga hari, yang terburuk sejak perang 2014, sebanyak empat rakyat Israel terbunuh akibat terkena roket dari Gaza ketika 27 penduduk Palestin maut akibat serangan udara rejim.
Hamas yang menguasai Gaza mula menghasilkan roket Qassam pada 2001 semasa intifada kedua yang mampu mencapai jarak 10 kilometer (km) dan jarak itu semakin bertambah pada setiap tahun.
Kumpulan Jihad Islam turut memperkenalkan peluru berpandu baharu mereka semasa perang minggu lalu apabila melancarkan Badr 3 yang mampu mencapai jarak 50 kilometer dan membawa kepala peledak seberat 250 kilogram (kg).
Genting Gaza telah lama berada di bawah penguasaan sempadan Israel yang ketat, termasuk sekatan terhadap sebarang teknologi dan produk yang digunakan oleh penduduk Palestin untuk tujuan ketenteraan serta berpotensi ke arah pembuatan senjata.
Dalam pada itu, menurut bekas penasihat keselamatan Israel, Yaakov Amidror, jentera diperlukan oleh Hamas dan Jihad Islam untuk membuat roket didakwa diseludup melalui Mesir manakala Iran serta kumpulan Hezbollah di Lebanon menyediakan bantuan kepakaran.
ISRAEL TANGGUNG KERUGIAN RM58 JUTA
Dalam perkembangan berkaitan, serangan roket dari Gaza mengakibatkan Israel menangung kos kerugian sebanyak AS$14 juta (RM58 juta) selepas bangunan-bangunan di selatan wilayah itu rosak dalam perang tersebut.
Menurut Pengerusi Persatuan Kontraktor Pembinaan (RCA), Eran Siv, bangunan di selatan Israel adalah lebih mudah terjejas berbanding bangunan di tengah Israel.
“Kebanyakan rumah penduduk beratapkan genting, jadi kerosakan dalam kes serangan langsung atau roket jatuh di kawasan berhampiran, adalah lebih dahsyat berbanding bangunan yang mempunyai bumbung konkrit.
“Atap genting tidak menghalang roket daripada memasuki bangunan, jadi kerosakan terhadap struktur dan dalam pangsapuri adalah lebih besar,” kata Siv seperti dipetik oleh Jews News Syndicate.
KANDUNGAN PELAN DAMAI AS DIDEDAH
Dalam perkembangan berlainan, isi kandungan pelan damai Asia Barat tajaan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai ‘Perjanjian Abad Ini’ didedahkan oleh media berbahasa Hebrew semalam.
Agensi media Israel Hayom mendedahkan isi kandungan perjanjian tersebut diperoleh menerusi dokumen yang dibocorkan oleh Kementerian Luar Israel.
Perjanjian melibatkan tiga pihak dan akan ditandatangani antara Israel dan Hamas serta negara Palestin yang akan dibentuk, dikenali sebagai ‘Palestin baharu’ di Judea, Samaria dan Gaza dengan pengecualian penempatan haram.
Selain itu, blok penempatan haram sedia ada akan kekal di tangan Israel dan disertai oleh beberapa penempatan haram lain.
Pada masa sama, Baitulmuqaddis tidak akan dikongsi atau dibahagikan antara Israel dan Palestin baharu dengan kawasan itu akan dijadikani ibu kota Israel dan Palestin baharu.
Mesir pula akan memajak tanah baharu kepada Palestin bagi tujuan pembangunan lapangan terbang, kilang, perdagangan dan pertanian selain perumahan. – AGENSI











