JOHOR BAHRU 24 Mei – Seorang remaja maut apabila motosikal dinaikinya hilang kawalan setelah melanggar cermin sisi sebuah kereta lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Lebuh Cemerlang, Ulu Tiram, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 14. 15 itu, mangsa, Raman Bisarah, 19, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu kereta terbabit dari arah Taman Pelangi ingin menuju ke Desa Cemerlang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah belakang melanggar cermin sisi kanan kereta itu menyebabkan motosikal berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke pembahagi jalan tengah.
“Penunggang motosikal itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan lurus bagi laluan sehala tiga lorong itu dalam keadaan kering dan aliran trafik ketika itu tidak sesak.
“Cuaca ketika itu juga dalam keadaan baik dan lalu lintas tidak sesak. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dan memberitahu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN ONLINE











