Remaja lelaki kes tembak monyet ditahan bersama bapa - Utusan Malaysia

Remaja lelaki kes tembak monyet ditahan bersama bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 23 Mei – Seorang lelaki yang menembak mati seekor monyet dalam rakaman video yang tular dalam laman sosial ditahan semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, remaja berusia 18 tahun itu ditahan bersama bapanya yang berusia 54 tahun di rumah mereka di Taman Kenangan, Sitiawan pada pukul 9.20 malam semalam.

Menurutnya, kejadian remaja itu menembak monyet berlaku antara pukul 10 hingga 11 pagi 18 Mei lalu dan membuang bangkai haiwan itu ke dalam sungai di Bota.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejadian itu berlaku di Lambor Kiri, Bota. Turut ditahan ialah bapa suspek berusia 54 tahun yang juga pemilik senjata api berkenaan untuk membantu siasatan.

“Remaja berkenaan melakukan perbuatan tersebut dengan motif suka-suka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Razarudin, remaja lelaki itu mengaku mengambil pistol milik bapanya yang sedang tidur dalam pondok di kebun pisang bapanya pada hari kejadian.

Beliau berkata, remaja itu juga mendakwa haiwan liar itu ditangkap di kebun kerana merosakkan tanaman.

“Bapa suspek memberitahu pelaku dalam video yang tular itu seakan-akan anaknya dan polis akan ke lokasi kejadian untuk meneruskan siasatan,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas sepucuk pistol warna hitam jenis Glock 42, sarung pistol, 12 peluru dan lesen pemilikan senjata api.

“Suspek yang tidak berkerja dan bapanya yang merupakan seorang peniaga direman selama empat hari sehingga 26 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini