Redzuan serlahkan kembali MED - Utusan Malaysia

Redzuan serlahkan kembali MED

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
MENTERI Pembangunan Usahawan, DATUK SERI MOHD. REDZUAN YUSOF sentiasa positif, gemar memandang ke depan. Matlamatnya hanya satu di kementerian yang baharu diwujudkan semula itu – untuk menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan.

Mahu hanya dipanggil sekadar ‘Pak Wan’, Mohd. Redzuan dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan FARHANA JONI di pejabat Menteri, Ibu Pejabat Bank Rakyat, Kuala Lumpur baru-baru ini bercakap panjang lebar tentang usahanya mahu membangunkan ekosistem dalam pelbagai bidang keusahawanan. 

Antaranya, menteri itu menjelaskan mengapa beliau ‘menjentik’ idea kereta terbang. Pada masa sama mahu mewujudkan protege untuk membentuk, sekali gus melahirkan para graduan usahawan yang berdaya saing di peringkat global.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau juga menyebut mengenai kekangan dalam memajukan bidang keusahawanan andai berterusan bekerja secara silo di MED termasuk dalam kalangan kementerian. Amati visi dan misi beliau dalam pertemuan lebih sejam itu.

USAHAWAN MALAYSIA MENYERLAH DI DUBAI, RUSIA

KALAU kita boleh mengeluarkan peruntukan berbilion ringgit membina jalan raya bagi membolehkan pemanduan kereta, begitulah juga harapan saya terhadap kementerian ini iaitu menyediakan infrastruktur dan ekosistem untuk para usahawan mencipta idea baharu seterusnya maju dalam perniagaan.

Selama ini sebenarnya para usahawan tempatan dibelenggu masalah ekosistem sehingga mengakibatkan mereka kelihatan tidak berjaya. Hakikatnya bukan pun begitu. Ramai usahawan tempatan boleh berjaya kerana mereka berani ke hadapan. Tapi malangnya semua itu hanya dapat disaksikan di luar negara. Bukannya di tanah air sendiri, Malaysia.

INFOGRAFIK memaparkan pencapaian Kementerian Pembangunan Usahawan
INFOGRAFIK memaparkan pencapaian Kementerian Pembangunan Usahawan yang telah diwujudkan semula setelah dibubarkan kerajaan BN pada 2009.

Kejayaan usahawan-usahawan itu membuktikan mereka tidak lagi berada di takuk lama tapi gagal menyerlah dan dilihat tidak berani ke hadapan akibat kekangan ekosistem yang terdapat di negara ini.

Kekurangan ekosistem ini jelas apabila ramai sebenarnya usahawan bumiputera berjaya di luar negara seperti di Dubai misalnya, usahawan kita yang menyediakan sistem e-hailing teksi di sana.

Lapangan Terbang di Rusia pula, sistemnya dibangunkan oleh usahawan Malaysia. Begitu juga di Afrika dan Turki. Berbeza keadaannya di sini apabila sistem pengurusan lapangan terbang negara di bawah bidang kuasa satu badan organisasi besar.

Malangnya, platform ekosistem itu gagal difahami dengan jelas hingga menyebabkan idea kereta terbang yang dikemukakan kepada umum dikecam bertubi-tubi termasuk dalam kalangan pembangkang pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sedangkan tujuan utama saya mengemukakan idea tersebut secara terbuka adalah ingin ‘menjentik’ atau bertanya kepada masyarakat dan kerajaan hari ini sama ada Malaysia sudah bersedia dengan pelbagai inovasi.

Adakah ekosistem dan undang-undang negara membenarkan inovasi-inovasi ini dibangunkan secara komersial? Dubai misalnya telah menjemput saya dalam pelancaran Teksi Terbang pada November ini.

Mereka boleh melaksanakan pembaharuan tersebut kerana telah menjalankan kajian dan persediaan sejak tiga tahun lalu.

Walau bagaimanapun, idea kereta terbang itu akhirnya telah merangsang pelbagai pihak dan organisasi untuk berfikir, menjalankan kajian dan menubuhkan jawatankuasa undang-undang khusus untuk membangunkan inovasi tersebut.

Bahkan beberapa negara lain seperti Singapura dan Jerman telah mengambil tindakan sama mengumumkan idea yang hampir serupa dengan kereta terbang itu, baru-baru ini.

Idea dan inovasi merupakan perkara yang terlalu cepat bergerak. Akibat ketiadaan ekosistem, segala idea yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan tempatan akhirnya ‘dimuziumkan’ sahaja selama ini.

Agak sayang kalau begitu akhirnya kerana idea-idea dan inovasi itu mempunyai nilai yang cukup tinggi selain berupaya menarik pelaburan luar ke dalam negara.

TANGANI KONTRAK DAPUR HALAL OLIMPIK

MEMUDAHCARA idea dan inovasi yang dibangunkan para usahawan tempatan agar golongan berkenaan dapat bergerak ke hadapan. Misi Kementerian Pembangunan Usahawan ini jelas tanpa kompromi. Pertindihan tugas dan tanggungjawab sama sekali tidak akan berlaku kerana Majlis Penasihat Pembangunan Usahawan pada Ogos 2018 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berupaya menilai peranan masing-masing.

Kita perlu menggunakan segala kelebihan yang dimiliki selama ini. Misalnya kejayaan kementerian menandatangani kontrak dapur halal Olimpik di Jepun yang hampir terlepas akibat daripada kelompongan maklumat mengenai potensi usahawan tempatan.

Kerjasama yang turut diharapkan adalah dana sokongan untuk melatih para usahawan memahami kos perniagaan dengan betul kerana kesilapan yang lazim dilakukan para usahawan adalah menghitung kos pembuatan produk semata-mata tanpa mengambil kira kos operasi dan pengangkutan, selain memohon pembiayaan kewangan berlebihan hingga menjadi bebanan perniagaan.

Kegagalan memahami kos perniagaan dengan baik seperti ini menyebabkan usahawan kita tidak dapat bersaing di peringkat global. Akhirnya kekal berniaga di tepi jalan hingga generasi keempat.

HAB GELATIN HALAL

IDEA ini tercetus ketika mengadakan perbincangan dengan Duta Australia untuk menghasilkan gelatin halal di negara ini. Kita mahu memproses daging yang diimport dari negara tersebut dan jika bahagian tulang dibuang atau dijual di tempat lain, kita ambil diguna sebagai gelatin.

Contoh model yang kita kaji adalah membawa masuk carcass yang diproses di Malaysia dan cipta industri penyembelihan.

Orang di negara ini tak begitu nampak industri penyembelihan. Sedangkan kita mempunyai kemahiran tinggi dalam menyembelih dan melapah.

Jadi, kita perlu cipta penyembelih profesional. Seterusnya kita akan wujudkan peluang pekerjaan yang pelbagai kepada rakyat negara ini. Pada masa sama, pihak dari China, Jepun dan Asia Barat turut berminat dengan projek yang ingin kita bangunkan ini kerana yakin dengan pensijilan halal Malaysia.

Bayangkan kalau kita fokus dalam pembangunan industri halal, KDNK negara hari ini pasti boleh melonjak lebih tinggi. Tetapi ini perlukan hasrat politik yang tinggi daripada semua pihak termasuk kementerian-kementerian lain.

Jadi, siapa kata Kementerian Pembangunan Usahawan tiada sebarang pencapaian? Kita ada. Malah di peringkat dasar telah melaksanakan pelbagai gerak kerja.

Perdana Menteri sendiri juga menuntut kita supaya bertindak lebih berani. Jadi, sudah tentu saya tidak mahu mendengar sebarang alasan termasuk perkataan ‘tidak’ terhadap idea-idea baharu.

Kita perlu melihat pasaran antarabangsa juga, namun tidak pernah sesekali melupakan usahawan-usahawan kecil.

Kita ada Tekun untuk membantu mereka. Fiesta MED, jelajah di seluruh negara untuk mendapat maklumat dan pemudah cara untuk para usahawan ini maju ke hadapan.

Langkah membawa usahawan tempatan ke luar negara dan kita lihat mereka sendiri gembira sebab dapat peluang tersebut. Ya, memang saya menggunakan bahasa Inggeris di sana, sebab mengikut keperluan dan ketetapan keadaan negara tersebut.

Itu bukan masalah dan kekangan untuk menggerakkan usahawan ke hadapan. Dalam hal ini, kita kena ingat semula visi adalah membangunkan usahawan tempatan ke tahap lebih tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini