KUALA LUMPUR 23 Mei – Rakyat diseru meneliti 10 idea yang dicadangkan dalam Kertas Konsultasi Rakyat serta menyalurkan pandangan mengenai mekanisme skim bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang signifikan kepada negara.
Pengerusi Panel Penasihat Bebas Konsultasi Rakyat PTPTN, Sheikh Shahruddin Sheikh Salim berkata, langkah itu memandangkan hutang agensi itu sebanyak 10 bilion memberi kesan dari segi kewangan terhadap negara dan pembayar cukai.
“Masa depan pembiayaan pendidikan tinggi mempunyai kesan terhadap setiap lapisan masyarakat Malaysia. Walaupun peminjam sedia ada mungkin berasa merekalah kumpulan yang lebih terkesan dengan polisi pembayaran balik PTPTN namun terdapat kumpulan lain mungkin tidak menyedari mereka juga memegang kepentingan dalam keputusan yang harus dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Sheikh Shahruddin berkata, statistik menunjukkan jumlah pelajar yang memerlukan pinjaman PTPTN semakin meningkat dan dijangka terus meningkat daripada 180,000 kepada 250,000 pada tahun 2040, selaras dengan unjuran peningkatan pelajar dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi.
Katanya, berdasarkan kedudukan kewangan sedia ada, PTPTN tidak mampu menyediakan pinjaman secara mampan kepada mereka yang bergantung pada PTPTN untuk meneruskan pendidikan tinggi pada masa depan, sekali gus memberi kesan terhadap prospek generasi masa depan.
“Panel juga berharap ibu bapa, pelajar atau bakal peminjam, pembayar cukai, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, majikan, organisasi bukan kerajaan, institusi kewangan serta ahli-ahli Parlimen menyumbang maklum balas yang bernas,” katanya.
Dalam pada itu, Sheikh Shahruddin berkata, susulan sesi townhall konsultasi rakyat pertama yang diadakan di Universiti Malaya (UM) hari ini, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang melibatkan diri dalam proses tersebut dan menjemput lebih banyak pihak berkepentingan memberi maklum balas menerusi saluran khusus, www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat.
“Walaupun perbincangan menerusi media sosial dan dalam talian merupakan amalan yang baik, saluran khusus ini membolehkan rakyat melibatkan diri secara langsung dalam proses membantu kerajaan membuat keputusan menggubal dasar berkaitan PTPTN sedia ada kepada lebih baik,” katanya.
Selain itu, kata beliau, empat lagi sesi town hall konsultasi rakyat dijadualkan sehingga hujung bulan ini dan akan diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 25 Mei, Universiti Malaysia Terengganu (27 Mei), Universiti Malaysia Sabah (29 Mei) dab Universiti Malaysia Sarawak (31 Mei).
10 idea dicadangkan dalam kertas konsultasi rakyat.
1) Penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan RM2,000 ke bawah.
2) Menangguhkan pembayaran balik bagi peminjam berpendapatan bawah RM4,000.
3) Menggantikan sistem bayaran balik sedia ada kepada skim bayaran balik berasaskan pendapatan untuk peminjam baharu.
4) Potongan gaji mandatori.
5) Melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya.
6) Menguatkuasakan lebih tegas terhadap peminjam culas yang tidak membayar balik dalam tempoh lama.
7) Melaksanakan sistem penjamin.
8) Pemansuhan pengecualian bayaran balik graduan kelas pertama atau digantikan dengan pengecualian separa.
9) Mengurangkan jumlah peminjam, secara beransur-ansur menamatkan pinjaman kepada IPTS dan kursus berprestasi rendah.
10) Menaikkan caj ujrah satu peratus kepada peminjam baharu.
UTUSAN ONLINE











