Rai insan kurang bernasib baik - Utusan Malaysia

Rai insan kurang bernasib baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kemeriahan umat Islam menyambut Ramadan, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur tidak melepaskan peluang untuk meraikan insan-insan yang kurang bernasib baik pada bulan yang mulia ini.

Atas keprihatinan itu, hotel tersebut telah mengadakan satu majlis berbuka puasa bersama ibu tunggal dan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Objektif majlis itu diadakan adalah bagi memupuk semangat kerjasama dan tolong-menolong sesama insan di samping mengeratkan hubungan silaturahim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, melalui majlis itu juga, ia sedikit sebanyak akan dapat membantu serta mewujudkan kerjasama dengan badan pertubuhan kebajikan terutama ibu tunggal yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang memerlukan sokongan.

Ahli Lembaga Pengarah Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Datuk Rozzana Rahmat berkata, lebih 100 ibu tunggal serta anak-anak yatim dan asnaf diraikan dalam majlis berbuka puasa tersebut.

Jelasnya, majlis tersebut juga diadakan bersempena sambutan hari ibu sedunia yang diraikan pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun.

“Ini adalah sebahagian usaha Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Yayasan Insan Rakyat dan beberapa rakan kerjasama lain yang melakukan kerja amal ini untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Ini adalah program tahunan yang kami laksanakan dan saya berharap untuk masa-masa hadapan akan ada lebih ramai rakan kerjasama yang akan bersama kami melaksanakan program sebegini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rozzana menjelaskan, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Hotel Seri Pacific untuk membantu ibu tunggal adalah dengan membantu mereka mengadakan kempen jualan kuih raya.

“Pihak hotel telah menyediakan tempat khas di lobi hotel untuk mempamerkan produk jualan ibu-ibu tunggal ini.

“Kesemua hasil jualan akan disalurkan terus kepada ibu-ibu tunggal yang terlibat,” katanya.

Rozzana menambah, tujuan utama program itu adalah untuk meraikan para ibu tunggal dan anak-anak yang kurang bernasib baik.

“Saya berharap melalui program ini, ia mampu merapatkan lagi hubungan ukhwah sesama kita sekali gus dapat membuka dada dan hati kita untuk menghargai pengorbanan setiap insan yang bergelar ibu di samping menghayati kesucian bulan Ramadan ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini