PUTRAJAYA 8 Mei – Perbadanan Aset Keretapi (RAC) meraikan seramai 33 anak yatim daripada Rumah Bakti Al Kausar, Bangi dalam majlis berbuka puasa di Kementerian Pengangkutan di sini malam ini.
Kanak-kanak terbabit turut diberikan sumbangan dan duit raya.
Selain Rumah Bakti Al Kausar, RAC turut meraikan 11 orang penghuni Pusat Jagaan Beribuan Kasih, Kajang terdiri daripada kanak-kanak, warga emas dan ibu tunggal.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Timbalannya, Datuk Kamarudin Jaffar; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Khairul Adib Abdul Rahman dan Pengurus Besar RAC, Azhar Ahmad.
Anthony dalam ucapannya berkata, rakyat Malaysia amat beruntung kerana negara sentiasa dalam keadaan aman sehingga mereka boleh mengadakan majlis sebegini dengan selesa, berpuasa dan beribadah dengan tenang tanpa sebarang ketakutan.
“Kuncinya adalah perpaduan. Dalam hal ini, perpaduan kaum menjadi antara faktor penting untuk Malaysia mencapai status negara maju selain kepesatan pembangunan dan ekonomi.
“ Kemajuan sesebuah negara diukur atas dua faktor di atas, tetapi keharmonian antara kaum dan agama juga harus sentiasa dipelihara,” katanya.
Sementara itu, Azhar berkata, sumbangan yang diberikan adalah bagi meraikan mereka yang kurang bernasib baik.
“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Program Ihya Ramadan yang diadakan oleh RAC. Ini merupakan kali pertama RAC meraikan golongan kurang bernasib baik dalam majlis seperti ini. Sebelum ini, kita membuat sumbangan terus kepada rumah-rumah kebajikan, “ katanya. – UTUSAN ONLINE











