KUALA LUMPUR 28 Mei – Pemergian sejarawan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim diibaratkan sebagai suatu kehilangan besar yang sukar dicari ganti lebih-lebih lagi melibatkan ilmu mengenai sejarah tanah air.
Sambil memuji ketokohan dan kefahaman Kay Kim melibatkan sejarah negara, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali turut menyifatkan mendiang sebagai seorang yang tegas mempertahankan nilai sejarah.
Berikut merupakan kenyataan penuh Ibrahim yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa):
Bagi pihak Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) serta diri saya secara peribadi mengucapkan takziah atas kematian dan kehilangan seorang tokoh sejarah ilmuan negara yang terbilang iaitu Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.
Pemergian tokoh sejarah ilmuan negara ini satu kehilangan besar yang sukar dicari ganti. Mendiang seorang tokoh yang bersifat rendah diri, tidak egoistik dengan kehidupan yang amat sederhana dan senang bergaul dengan semua pihak.
Saya juga pernah berhubung serta bergaul rapat dengan mendiang dan menjadikannya pakar rujuk mengenai sejarah tanah air.
Mendiang memiliki ilmu sejarah tanah air dan ilmu yg dimilikinya tidak pernah dipolitikkan dan tegas mempertahankannya atas prinsip kebenaran sejarah.
Kefahamannya mengenai sejarah Tanah Melayu dan bagaimana negara mendapat kemerdekaan 1957 serta terbinanya asas Perlembagaan Persekutuan melalui jus soli merupakan kepakaran ilmuannya atas prinsip kebenaran yang hakiki dan tidak ditokok tambah.
Mendiang adalah lambang dan contoh rakyat Malaysia yang menjunjung sejarah. Di mana langit dijunjung di situ bumi dipijak.
Saya amat bangga dan tabik hormat utk mendiang dan turut bersedih atas pemergiannya buat selama-lamanya.
Putra dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan agar Universiti Malaya (UM) mewujudkan segera ‘Kursi Khoo Kay Kim’ bagi tujuan untuk terus memperkasa sejarah tanah air yang sebenar supaya dihayati oleh semua peringkat generasi rakyat sekarang dan akan datang.
Semoga mendiang Kay Kim bersemadi di dalam ingatan semua lapisan masyarakat rakyat malaysia dan menjadi ikon pendidikan sejarah Tanah Melayu dan Malaysia. – UTUSAN ONLINE











