KUALA LUMPUR 11 Mei – Polis menahan 14 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan dalam serbuan di sebuah kelab di Bandar Puteri Puchong, Serdang, awal pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi oleh Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Selangor itu, lapan yang ditahan merupakan warganegara Vietnam manakala selebihnya warga Thailand.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, pihaknya turut menahan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun yang dipercayai penjaga premis hiburan tersebut.
“Dalam serbuan itu juga kita turut merampas wang tunai berjumlah RM7,211.
“Hasil semakan mendapati premis tersebut mempunyai lesen, namun mereka telah melanggar syarat lesen tersebut dengan beroperasi selepas 12 tengah malam” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azmi, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1) (c) dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1995. – UTUSAN ONLINE











