PSM masih cuba berahsia - Utusan Malaysia

PSM masih cuba berahsia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Mei – Sekalipun semakin jelas hanya regu berpasukan dan antara regu yang bakal disertai Malaysia dalam Sukan SEA Filipina, November ini, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) masih cuba merahsiakannya sehingga tarikh tutup penyerahan kepada penganjur, September ini.

Malah, ketika ditanya sama ada PSM akan turut mencongak penyertaan Thailand sebelum membuat keputusan, Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail menegaskan, Malaysia tidak berminat untuk mengambil tahu apa yang dilakukan musuh tradisi mereka itu.

“Tidak usah hendak camdi-camdi (menyindir). Setiap negara hanya dibenarkan ambil dua daripada empat acara yang dipertandingkan dalam Sukan SEA (termasuk gelung dan beregu berpasukan).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terlalu awal untuk beritahu walaupun kami sudah tetapkannya dengan mengambil kira pandangan jurulatih.

“Bagaimana sepak takraw kita hendak maju kalau ada soalan begini?,” katanya selepas pengumuman penajaan pakaian berjenama Kovra untuk skuad negara seramai 80 orang termasuk pelapis di pejabat PSM di sini hari ini.

Sukan SEA Ke-30 meneruskan dasar kekangan penyertaan terhadap semua negara peserta kecuali tuan rumah seperti mana Sukan Asia, tahun lalu yang menyaksikan Malaysia mengakhiri kemarau emas 20 tahun dalam antara regu tanpa penyertaan Thailand di Palembang.

Dasar ini dikuatkuasakan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) sejak Sukan SEA Laos 2009 manakala bagi Sukan Asia, sejak Guangzhou 2010.

Sebagai persediaan awal ke Sukan SEA katanya, satu regu negara bukan pilihan utama akan dihantar menyertai Kejohanan Asia Kedua Terbuka China di Kunming dari 10 hingga 14 Jun ini iaitu Syahmi Husin, Noraizat Nordin, Mohammad Azli Ahmad Zaki dan Amirul Zazwan Amir.

“Tidak banyak pertandingan antarabangsa tahun ini, sebuah kejohanan di Karachi, Pakistan pula dibatalkan baru-baru ini tetapi kita masih ada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-32 (dari 25 Ogos hingga 1 September ini) dan satu lagi di India.

“Selain itu sebanyak 12 pemain lelaki akan dihantar ke Korea Selatan bagi menjalani latihan selama dua minggu dari 7 hingga 26 Jun. PSM juga akan menganjurkan Kejohanan Lima Negara di Melaka dari 18 hingga 21 Julai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini