Program Ikatan Kasih Semarak Ramadan eratkan silaturrahim - Utusan Malaysia

Program Ikatan Kasih Semarak Ramadan eratkan silaturrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 23 Mei – Buat julung kalinya, Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen Enam di sini bekerjasama Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Selangor dan daerah bagi menjayakan Program Ikatan Kasih Semarak Ramadan dengan memasak bubur lambuk dan berbuka puasa.

Program Ikatan Kasih Semarak Ramadan itu juga turut melibatkan kerjasama anggota dan pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan diketuai Ketua Polis daerahnya, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Pengerusi Perkep Kontinjen Selangor, Datin Roshafiza Abd. Halim berkata, seramai 30 individu termasuk daripada skuad Polis Aman Wanita (Amanita) hari ini membantu dalam menjayakan program anjuran pihak sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sebenarnya salah seorang warga pendidik di sekolah ini dan mencadangkan supaya Perkep kontinjen, IPD Shah Alam dan Amanita datang membantu menjayakan program memasak bubur lambuk dan , berbuka puasa.

“Saya melihat program kemasyarakatan ini dapat memberi kesan positif terutama kepada murid-murid berikutan dapat mendekatkan diri dengan polis selain mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Guru Besar SK Seksyen Enam, Ani Meh dan Pengerusi Perkep Shah Alam, Hasina Mohamad Rafik.

Sementara itu, Ani berkata, pihaknya melihat penting untuk pihak sekolah terlibat dengan program kemasyarakatan membabitkan komuniti luar.

“Kita memilih untuk melebarkan sayap dengan penglibatan luar selain Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) seperti polis, persatuan penduduk dan surau kerana ia penting untuk sekolah.

“Bagi program bubur lambuk hari ini kita memasak tiga periuk yang mana salah satunya disumbangkan oleh Ketua Polis daerah. Kita menjangkakan akan mendapat lebih 1,000 bungkusan untuk diagihkan kepada murid-murid sekolah selepas tamat sesi persekolahan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini