JOHOR BAHRU 8 Mei – Parti Patriotik Nasional (PPN) sedia bekerjasama dengan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim sekiranya berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung PPN, Mohd. Zulkifli Abdul Fattah berkata, bentuk kerjasama itu akan diumumkan kelak setelah berbincang dengan Tunku Idris.
“Kami dengan penuh hormat ingin merujuk kepada ura-ura kenyataan Tunku Idris Iskandar bahawa berkenan mencemar duli bertanding pada PRU-15 dan juga kepada kaji-selidik yang dibuat oleh Baginda mengenai kawasan Parlimen yang ingin ditandingi.
“Jikalau perkara ini adalah benar, maka kami ingin bekerjasama bersama Baginda melalui parti politik kami iaitu PPN untuk menghadapi PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Sebelum ini putera kedua Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu membayangkan hasrat untuk bertanding dalam Instagram storynya pada 29 April lalu.
Menerusi kiriman tersebut, Tunku Idris Iskandar memuat naik pilihan untuk bertanding dalam PRU-15 di kerusi Parlimen Muar atau Mersing dengan keterangan “I am running #PRU15” (saya bertanding PRU15).
Mohd. Zulkifli berkata, PPN diterajui anak muda berbilang kaum dari seluruh Malaysia.
“Permohonan pendaftaran parti ini telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada tahun lepas dan dijangka akan diluluskan pada bulan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











