Polis tidak lakukan kesalahan tiada apa perlu dikhuatirkan - PM - Utusan Malaysia

Polis tidak lakukan kesalahan tiada apa perlu dikhuatirkan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 14 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bukan sahaja dapat membela imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi turut menjaga kebajikan pasukan berkenaan.

Perdana Menteri turut menzahirkan kesyukuran kerana isu bantahan PDRM terhadap penubuhan suruhanjaya itu berjaya diselesaikan.

“Bagi anggota polis yang tidak melakukan kesalahan, saya rasa tidak ada apa yang perlu dikhuatirkan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Kali Ke-8 di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, Dr. Mahathir juga mengucapkan tahniah kepada pihak Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Jelasnya, ini berikutan kejayaan kedua-dua pihak berbincang serta menjelaskan kepada wakil persatuan polis tentang kepentingan untuk mewujudkan IPCMC bagi memulihkan imej PDRM di mata rakyat.

Penubuhan IPCMC dilaporkan diteruskan selepas tiada halangan daripada pihak PDRM dalam satu sesi perbincangan dengan GIACC Jumaat lalu.

Abdul Hamid pada sidang akhbar selepas perbincangan itu berkata, PDRM berpuas hati dengan proses perbincangan berkenaan.

Pada 2 Mei lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan sebagai berkata, PDRM akan mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.

Mohamad Fuzi memberitahu, antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.

Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa SPP yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab atas pelantikan, promosi dan semua isu mengenai tatatertib pegawai polis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini