Polis tahan dua lelaki kes Vellfire cermin gelap - Utusan Malaysia

Polis tahan dua lelaki kes Vellfire cermin gelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mei – Polis telah menahan dua individu dipercayai terbabit dalam kejadian melarikan diri menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire bercermin gelap daripada pemeriksaan polis di Jalan Pudu, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua lelaki berusia 35 dan 39 tahun tersebut ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Jalan Imbi dan Taman Taynton, Cheras pada Khamis lalu.

“Tangkapan pertama dibuat di Jalan Imbi, dekat sini pada pukul 2.40 petang yang mana suspek merupakan seorang lelaki berusia 35 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil semakan mendapati suspek ini mempunyai tiga rekod kesalahan lampau,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurutnya, dalam tangkapan kedua kira-kira sejam selepas itu, suspek yang ditahan didapati mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

Mazlan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif kedua-dua suspek melarikan diri daripada pemeriksaan.

Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama seminggu hingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku ketika Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Kuala Lumpur melakukan Operasi Tapis (Op Tapis) di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, ketika polis menghampiri MPV terbabit untuk pemeriksaan, tiba-tiba pemandunya memecut laju dan hampir melanggar kereta polis yang diletakkan di lokasi berhampiran.

Polis kemudian mengejar sebelum kenderaan suspek melanggar sebuah kereta Nissan Almera berhampiran sebuah bank di Jalan Pudu, menyebabkan MPV itu berhenti.

Suspek yang berada di dalam kereta diarahkan keluar, namun kenderaan itu sekali lagi memecut hingga memaksa polis melepaskan lima das tembakan ke arah MPV terbabit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini