KUALA LUMPUR 14 Mei – Polis Kuala Lumpur melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai sindiket ‘Ah Chin’ dengan menahan empat individu termasuk seorang wanita warga China dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar ibu negara pada Khamis dan Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam tiga tangkapan masing-masing di Segambut, Jalan Ipoh dan juga Sungai Besi itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah, wang tunai serta kenderaan yang jumlah keseluruhannya dianggarkan bernilai RM827,542.
Mazlan berkata, serbuan pertama dijalankan Bahagian Jenayah Narkotik Daerah Sentul di tepi jalan Persiaran Segambut Utara, dekat sini pada pukul 9 malam Khamis.
“Kita menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang sedang memandu kereta Proton Saga FL dan hasil pemeriksaan menemukan dadah dipercayai ketamin seberat 75.02 gram (g) di dalam kereta tersebut.
“Suspek kemudian membawa pihak polis ke rumah ibunya di Jalan Ipoh, Batu 5, dekat sini yang membawa kepada penemuan 5.465 kilogram (kg) ketamin, methamphetamine (455 g), 230 biji pil erimin 5 nimetazepam (65 g) dan 20 biji pil yaba ‘wy’ (2.6 g),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Mazlan, bertindak ke atas siasatan terhadap suspek pertama, pihaknya menahan sepasang kekasih berusia 39 dan 50 tahun dalam serbuan kedua di sebuah kondominium dekat Jalan Ipoh Batu 6 1/2 kira-kira pukul 1 pagi pada Jumaat.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM22,490, sepucuk pistol jenis Glock bersama satu kelopak berisi 15 butir peluru, 60 keping matawang China bernilai RM3,600 serta tiga buah kereta jenis Mercedes Benz (2) dan Nissan Almera.
“Kita percaya lelaki berusia 39 tahun dalam serbuan kedua ini merupakan dalang sindiket tersebut, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” jelasnya.
Sementara itu, Mazlan berkata, dalam serbuan ketiga yang dijalankan kira-kira empat jam selepas serbuan kedua di sebuah residensi di Sungai Besi, pihaknya menahan seorang lagi lelaki berusia 53 tahun.
“Daripada suspek ketiga, kita merampas 1.035 kg methamphetamine, wang tunai sebanyak RM94,700 serta sebuah kereta Toyota Camry.
“Keempat-empat suspek yang turut positif dadah ini kemudian ditahan reman selama enam dan tujuh hari bermula Jumaat untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seorang daripada mereka akan turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











