KUALA LUMPUR – Polis memberkas 20 individu termasuk seorang wanita yang terlibat mengedar dan memiliki dadah dalam serbuan Ops Sarang Bulan Ramadan di sekitar kawasan San Peng, Dang Wangi di sini pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, daripada kesemua tangkapan itu, dua lelaki warganegara Myanmar turut ditahan.
“Serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 4 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi itu menahan 10 individu kerana mengedar manakala selebihnya ditahan kerana memiliki dadah.
“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap kesemua suspek adalah positif dadah jenis morfin dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Fahmi menambah, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 65 tahun.
“Antara dadah yang dirampas adalah heroin seberat 30.3 gram (g) dan methamphetamine (0.9g) yang dijangka boleh membekalkan dadah kepada 152 orang penagih.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Mei dan siasatan dijalankan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Tujuan operasi tersebut diadakan pada bulan Ramadan adalah bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah secara menyeluruh serta mengambil tindakan terhadap ahli sindiket mengedar dadah yang telah wujud di sekitar kawasan serbuan. – K! ONLINE











